Percaya
Kepada Hari Akherat
Adakah hidup
sesudah hidup yang sekarang?
Inilah soal
yang selalu timbul dalam otak manusia, bahkan inilah soal yang telah dicuba
memecahkannya sejak manusia mulai pandai mempergunakan fikirannya, bukan saja
dalam lapangan fikiran agama, bahkan juga dalam lapangan fikiran falsafah,
adakah nyawa kita ini sebagai benda kasar kita juga, iaitu hilang lenyap
bersama hilang lenyapnya tubuh masuk kubur?
Pengajian
tentang hilangnya nyawa bersama hilangnya tubuh, atau khulud (kekal) nya nyawa,
adalah pengajian yang telah amat tua, amat sulit mengaji soal ini dengan
semata-mata fikiran. Sebab yang mencari itu sendirilah yang dicari, untuk
mencari jawapan atas kekal atau tidak kekalnya, terlebih dahulu orang harus
memecahkan soal: adakah nyawa itu ada atau tidak! Kalau hukum tentang yang ada
hanya hendak ditetapkan kerana mendapat zatnya, selamanya tidak akan bertemu,
termasuk zat yang manakah? Adakah dia semata-mata chaya atau dia pun benda?
Bukti tentang adanya lebih banyak didapati kerana bekasnya, siapa itu yang
tidak puas dan selalu mencari? Yang selalu ingin tahu? Yang menderita sedih,
marah, murka, sayang benci dan gembira?
Mengatakan
bahwa nyawa tidak kekal, dia hilang bersama hilangnya tubuh, hanyalah
semata-mata suatu keputusan saja, keputusan yang dikeluarkan dengan tidak cukup
bukti-bukti, sehingga setelah keputusan
diambil, kepuasan belum juga ada.
Lalu setengah
ahli ilmu jiwa mencari permecahan soal dari segi lain, manusia itu
sendiri-katanya- tidaklah puas kepada hasil hasil yang dicapainya di dalam
hidupnya, dia tahu bahwa tidaklah semua apa yang diharapkan dapat tercapai.
Manusia merasai banyak sekali terdapat keadaan yang pincang di dunia ini.
Beberapa banyaknya pekerjaan yang telah dirancang, tetapi akhirnya yang lain yang
bertemu. Berapa banyaknya orang jujur teraniaya, orang curang naik daun, maka
selama didunia ini juga tidaklah akan ada kepuasan, oleh kerana yang demikian,
maka kecintaan kepada hidup itulah yang menyebabkan manusia merindui lagi hidup
yang lebih baik dari hidup duniawi ini, yang disana tidak ada lagi segala
persengketaan.
Keputusan
analisa ahli ahli ilmu jiwa ini pun belumlah memuaskan orang, kerana dengan
kepuasan demikian, bukanlah soal menjadi pecah, hanyalah menambah keraguan dan
bahayanya bagi hidup pun bukan sedikit.
No comments:
Post a Comment