Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan
Alhamdulillahi, dalam waktu yang terdekat ini kita akan kedatangan tetamu yang sering kita nanti-nantikan,iaitu bulan Ramadan yang suci, dimana Allah swt telah memerintahkan hamba-hambaNya untuk melaksanakan ibadat puasa, dan memperbanyakkan amalan-amalan yang sholeh. Firman Allah swt di surah Al Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu, dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur”
Selain dari perintah untuk melaksanakan ibadat puasa di bulan tersebut, kita juga digalakkan untuk mengerjakan amalan-amalan yang dapat meningkatkan hubungan kita sesama manusia, seperti berinfak, bersedekah, berzakat, memberikan makan dan minum untuk mereka yang berbuka puasa, dan melaksanakan ibadat-ibadat sunat. Ini sebagaimana yang di sabda oleh Nabi saw yang bermaksud:
“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Hadist ini membawa pergertian bahwa:
Sifat Ajwadu, yang kita ertikan sebagai pemurah merupakan salah satu dari sifat-sifat Rasulullah saw. Ini juga merupakan salah satu sifat yang dimiliki oleh para Rasul. Sifat ini tidak dapat terdetik dalam jiwa manusia melainkan ia wujud dari sifat ikhlas, sifat qanaah dan kasih sayang yang amat murni sesama manusia.
Hadist ini juga memberikan kita pengajaran bahwa, untuk melakukan sedekah tidak semestinya seseorang mempunyai harta atau wang yang melimpah ruah, kerana pada hakikatnya diri Nabi saw, bukan lah seorang yang kaya raya atau mempunyai banyak harta, tetapi para sahabat semua bersetuju bahawa beliau mempunyai hati nurani yang halus dan bersifat dermawan.
Bersedekah di dalam Islam bukan hanya dengan wang ringgit dan harta yang kita miliki, kita juga boleh menyumbang dengan tenaga kita, atau tulang empat kerat kita, atau pemikiran kita, atau ilmu pengetahuan kita, atau apa jua yang kita miliki yang mempunyai nilai dan mendatangkan manfaat kepada seseorang, sepertimana yang di riwayatkan dari Jabir Bin Abdillah r.a dari Nabi saw bersabda:
Kullu mak‘ruufin sadaqoh,
Bermaksud: "Setiap sesuatu yang baik itu adalah sedekah”,
hatta senyuman yang manis kepada saudara kita yang lain juga adalah sedekah. Maksudnya walaupun kita tiada harta yang berlimpah ruah untuk kita dermakan kepada mereka-mereka yang berhajat kepadanya, kita tetap juga dapat beramal dengan budi pekerti dan kesantunan kita dalam bergaul sesama manusia, ini juga sebagai sedekah kita kepada mereka.
Jika kita ingin memiliki sifat Ajwad, kita perlu lebih dahulu membersihkan jiwa dan hati kita dan menanamkannya dengan sifat-sifat berikut :
(1). Menanamkan iman dan taqwa yang kukuh kepada Allah swt,
(2). Menyemaikan sifat qanaah (sifat rasa mencukupi – tidak tamak atau bakhil) dan
(3). Menwujudkan sifat saling kasih mengasihani sesama manusia.
Sifat suka menyumbang atau sifat murah hati ini memang digalakkan oleh agama Islam, banyak sekali Firman Allah swt atau Sabda Nabi saw, yang mengalakkan kita untuk bersedekah kepada sesiapa saja yang membuntukan, kerana Allah swt juga berjanji barang siapa yang bersedekah akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda di sisi Allah swt, ini sebagaimana firman Allah swt di surah Al Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
"
Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas (kurnia Nya) lagi Maha Mengetahui"
Ganjaran yang diberikan Allah swt ini, merupakan dari sedekah-sedekah yang bukan wajib, seperti bersedekah untuk Masjid, Madrasah, persatuan-persatuan Islam atau berderma kepada orang yang membuntukan, derma atau sedekah seumpama ini telah Allah swt janjikan ganjaran yang berlipat kali ganda, bayangkan nilai pahala ganjaran yang wajib disisi Allah swt jika kita laksanakan perkara-perkara yang wajib seperti nafkah kepada keluarga, Zakat harta atau zakat fitrah, tentu sekali ganjarannya amat besar sekali disisi Allah swt, sebab itu penting bagi diri kita dalam kita mengamalkan perkara-perkara yang sunat jangan sampai perkara yang wajib kita abaikan, ini yang dikatakan priority atau keutamaan dalam beramal.
Ada pihak yang berlumba-lumba mengerjakan amalan-amalan yang sunat, tetapi sayangnya perkara yang wajib diabaikan nya, sebagai contoh, ada diantara kita terlalu semangat ingin mengejar malam-malam lailatul qadar, dia berjaga malam dan tidak tidur, terus menerus beribadat dari tengah malam sehingga dekat waktu subuh, sayangnya waktu subuh beliau tertidur kerana terlalu kepenatan sehingga hilang salat subuh yang wajib, ataupun dia bersemangat untuk laksanakan salat tarawih berjemaah, tetapi solat yang wajib (maghrib atau Isya’) dia tak mahu melaksanakan dengan berjemaah.
Begitu juga dalam kita bersifat pemurah di bulan yang suci ini, kita juga diperingatkan oleh Allah swt agar mengelakkan perkara-perkara yang dapat merosakkan amalan-amalan kita, sebagaimana Firman Allah swt di surah Al Baqarah ayat 262 yang bermaksud:
"
Orang-orang yang menafkahkan hartanya dijalan Allah swt, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-yebut pemberiannya dengan tidak menyakiti (perasaan penerima) , mereka peroleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka merasa sedih"
Peringatan dari Allah Azza Wa Jalla, agar orang yang menderma itu jangan sekali-kali menunjukkan sifat riya’ atau bangga diri dengan derma yang telah diberikan, kalau boleh jangan sampai orang lain tahu, kalau memang tidak perlu diberitahu, ibarat kata pepatah : Tangan kanan yang memberi sehingga tangan kiri pun tak tahu.
Begitu juga dalam kita beramal dan melakukan infak dan sedekah jariah, jangan sampai apa yang kita beri, kita iringi dengan perkataan perkataan yang dapat menguris hati si penerima atau mereka-mereka yang membantu menguruskan pemberian kita (kalau ingin beri “feedback”, berikan lah maklum balas dengan sopan santun dan penuh hikmah).
Semoga dengan kehadiran bulan Ramadan 1436H ini, Allah swt senantiasa memberikan kita pertunjuk, taufik dan hidayahNya dan seterusnya mengampuni segala kesalahan dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan, dan membersihkan hati dan jiwa kita dari segala sifat-sifat yang mazmumah, dan semoga kita tergolong dalam golongan hamba-hambaNya yang pemurah dan yang diredai baik di dunia mahupun di akherat, amin, Yaa rabbal ‘alamiin. “Selamat mengharungi ibadat Puasa” .
Sekian : Abdul Jalil Abdul Razak
No comments:
Post a Comment