Tuesday, April 28, 2015

Camp Fire-Ledang Mar 2015


Tekanan Hidup (3)


(Bersambung – Tekanan Hidup).... Alhamdulillahi, hari ini kita bersambung semula topik berkenaan dengan Tekanan Hidup yang dihadapi oleh masyarakat Negara yang kosmospolitan ini, selain dari dua perkara yang lalu (Kebendaan dan Sifat Ananiyah), perkara ketiga pula yang menjadi punca masyarakat kita stres, resah dan gelisah adalah:

(3). Competitive

Iaitu sifat bersaing atau berlumba-lumba, sifat ini juga dapat memberikan tekanan didalam kehidupan kita sehari hari, khususnya dalam mengejar dan mencari kemewahan hidup dan berusaha mencapai status atau kedudukan yang mantap, sifat seumpama ini sudah menjadi lumrah dunia, kerana semua pihak ingin berlumba-lumba untuk memastikan mereka senantiasa berada dihadapan dan dalam kedudukan yang baik. Ini dapat kita lihat dalam segenap peringkat kehidupan manusia dan begitu juga makhluk makluk Allah swt yang lain, semuanya berlumba-lumba bagi memastikan keberadaan mereka terjamin.

Sebagai contoh, kepada mereka-mereka yang mempunyai anak-anak disekolah, mereka pasti ingin agar anak-anak mereka mencapai pretasi dan kedudukan yang baik, anak-anak juga digalakkan untuk berlumba-lumba dalam pembelajaran dan aktiviti yang mereka ceburi, tidak cukup dengan pembelajaran sekolah saja, mereka juga dihantar ke kelas-kelas tambahan bagi memastikan anak-anak mereka dapat bersaing dengan teman-temannya yang lain dalam pembelajaran mereka.

Pihak-pihak sekolah pula digalakkan bersaing diantara mereka, sekolah manakah yang terbaik dalam pembelajaran dan aktivitii-aktiviti yang diadakan, pihak guru juga bersaing diantara mereka siapakah guru yang terbaik dalam memberikan pendidikan kepada anak murid nya, sifat bersaing ini telah dibudayakan dan menjadi lumrah dalam kehidupan manusia, baik didalam rumah tangga, alam persekolahan, ditempat kerja, pentadbiran organisasi, politik dan ekonomi, diantara Negara, hatta dalam segenap peringkat kehidupan manusia, semuanya berlumba-lumba dalam mengejar impian mereka.

Walaupun pada dasarnya sifat ini adalah sifat yang mulia dan terpuji, tetapi jika ia dilakukan dengan niat yang tidak baik dan berlandaskan dengan hawa nafsu haiwaniyah, maka sudah pasti sifat ini akan mendatangkan natijah yang tidak baik pula, sebagai contoh jika seseorang itu mempunyai sifat bersaing dan sanggup melakukan apajua cara demi untuk memastikan persaingannya dapat diatasi dan dikalahkan, maka orang seumpama ini tidak akan teragak-agak melakukan apa jua cara demi untuk mencapai tujuan dan matlamatnya, walaupun mungkin perbuatan nya itu bertentangan dengan nilai-nilai yang murni, dan sikap seumpama inilah yang membuat seseorang itu semakin resah dan stres dalam berlumba-lumba mengharungi hidup.

 

Huraiannya

 

Agama Islam mengalakkan kita untuk berlumba-lumba dalam mengejar kejayaan dan kebaikan, ini dapat dimaklumi dengan firman Allah swt yang bermaksud:

“Maka berlumba-lumba lah kamu (dalam membuat) kebaikan...”

Petikan dari surah Al Baqarah ayat 148 ini memberikan kita gambaran yang syumul, bahwasanya agama Islam mengalakkan kita untuk saling bersaing dalam melakukan apajua bentuk kebaikan, kita disuruh untuk berlumba-lumba diantara kita dalam melakukan kebaikan, tidak kira apajua bentuk kebaikan yang mampu dilakukan, apakah kebaikan itu dilakukannya melalui ilmu pengetahuan, atau dengan harta dan tenaga yang dimiliki, yang mana manfaatnya sudah pasti dapat diraih oleh dirinya atau orang lain.

Jika seseorang itu berlumba-lumba melakukan kebaikan itu dengan niat supaya kebaikan yang dilakukannya nanti dapat dimanfaatkan bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk orang lain, sudah pasti niat seumpama ini dapat memberikan kepuasan dan ketenangan dalam dirinya, jiwanya akan rasa tenteram dan hatinya akan merasa gembira apabila dia melihat segala jerih payahnya memberikan kemanfaatan, keuntungan, kesenangan dan kebahgiaan kepada orang lain, inilah sifat berlumba-lumba yang digalakkan dalam agama Islam, iaitu berlumba-lumba melakukan sesuatu perkara yang baik agar usahanya itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Ini dikeranakan agama Islam sangat menghargai setiap perbuatan yang baik, dan akan membalasnya dengan balasan yang baik, maka sebab itu segala kebaikan yang dilakukannya walau sebesar zarah (sekecil mana sekalipun) sudah pasti akan dihitung oleh Allah swt, kerana Islam amat memuliakan sesuatu kebaikan, ini ditekankan lagi dalam Firman Allah swt di surah Al Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah sekalipun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah sekalipun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula”

Inilah ajaran Islam yang sebenar, ajaran yang memberikan ketenangan dalam jiwa dan hati para penganutnya dalam hal berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebaktian. Jika sifat bersaing itu dihayati dengan hati dan jiwa yang murni sudah pasti usaha dan sifat berlumba-lumba ini dapat memberikan ketenteraman hati dan ketenangan jiwa, tetapi sebaliknya jika usaha dan tenaga yang dicurahkan untuk berlumba-lumba ini dilakukan dengan berpandukan sifat-sifat haiwaniyah, iaitu tindakan yang hanya mementing diri sendiri dan berdasarkan hawa nafsu tanpa mengimbangi dengan pemikiran dan akal yang waras, maka sudah pasti sifat berlumba-lumba ini hanya mendatangkan tekanan dan stress, kerana sifat seumpama ini hanya mendatangkan permusuhan dan kebencian diantara satu dengan lain, dan inilah punca berlakukan sifat stress dan tekanan dalam diri manusia.

 

Kesimpulannya agama Islam mengalakkan umatnya untuk berlumba-lumba dalam mengejar kejayaan dan kebaikan sebagai satu bentuk peribadatan yang bertujuan untuk memberikan kemanfaatan dalam kehidupan manusia, ini juga mencerminkan bahwa agama Islam merupakan agama ihsan dan menginginkan penganutnya menunjukkan sifat rahmat dan kasih sayang kepada seluruh manusia, semoga dengan menghayati sifat ini kita dapat menghindari sifat stress yang sering menghantui masyarakat kosmospolitan ini, amin... (bersambung)

Friday, April 24, 2015

Tekanan Hidup (2)


(bersambung :Tekanan Hidup)......Jika ada diantara kita yang masih lagi merasa resah dan gelisah dalam mengharungi kehidupan yang  serba maju ini, dan tidak merasa ketenangan jiwa dalam mencari rezki dan menikmati kebendaan yang ada, maka perlulah dia melakukan muhasabah diri, apakah segala nikmat yang telah Allah swt anugerahkan kepadanya ini membuatnya lebih mendekatkan dirinya kepada Allah swt, atau segala kebendaan yang dimilikinya itu membuatkan nya lebih jauh lagi daripadaNya, Insyallah jika kebendaan yang usahakan dapat mendekatkan diri kepadaNya, jiwa ini akan merasa tenang dan tenteram, dan seterusnya sudah pasti dapat menghindarkan sifat stress dan gelisah yang menghantui dirinya.

 

(2) Self-Centred

Perkara kedua pula yang didapati meresahkan masyarakat Negara ini adalah sifat ananiyah atau Self-centred, iaitu sifat mementingkan diri sendiri, seolah-olah dunia ini hanya berputar disekeliling mereka, mereka lah sebagai tunggak dan pusat berfungsinya segala sesuatu, mereka lah yang terpenting, yang perlu diberikan keutamaan dan perhatian, sementara yang lain pula hanya boleh berlaku setelah diri mereka mendapat keutamaan nya.

Bayangkan jika sifat ini dimiliki oleh mereka-mereka yang berjawatan dan berkedudukan penting, sudah pasti mereka akan mengunakan pangkat dan kedudukan mereka, demi untuk memenuhi keinginan dan kemahuan mereka, buat diri mereka yang lain itu hanya bersifat secondary dan tidak penting, kerana yang terpenting adalah diri mereka.

Apabila wujud sifat ananiyah ini dikalangan masyarakat, maka pada hakikatnya apa jua kemajuan yang dicapai oleh manusia sudah pasti tidak akan memberikan ketenangan dan kedamaian pada diri individu tersebut. Maka akan bermaharajalela pula sifat sifat iri hati asad dengki sesama manusia, tiada lagi sifat saling hormat menghormati diantara satu dengan lainnya, manusia hidup dengan sifat kepura-puraaannya.

Lebih-lebih lagi jika sifat ini dimiliki dikalangan pemimpin masyarakat atau ahli-ahli politik, maka akan berlakulah politik kotor yang dilakukan mereka demi untuk memastikan pihak lawan mereka tidak dapat menandingi mereka, mereka akan berusaha memastikan pihak lawan akan jatuh tersungkur dan tidak dapat lagi bersaing dengan mereka.

Sifat ananiyah ini dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari, ada kalanya ia berlaku di dalam keluarga sendiri, diantara suami dengan isteri, anak-anak dan orang tua, diantara jiran tetangga, ditempat kerja dan dalam segenap peringkat kehidupan kita, tanpa kita sedari sifat ini telah bermaharajalela dalam kehidupan kita sehingga membuat manusia bertambah resah dan gelisah walaupun pada hakikatnya kehidupan mereka penuh dengan kemewahan.

Huraiannya:

 

Agama Islam memberikan kita jalan keluar dalam menghadapi situasi seumpama ini. Sifat ananiyah (self centred) ini merupakan sifat mazmumah (sifat yang keji) yang dibenci oleh agama dan dilarang kita daripada memilikinya, sifat ini dapat kita hindari dengan menanamkan sifat ihsan sesama kita, Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang dari kamu, sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri”.

Hadis ini memberikan kita pandangan asasi berhubung muamalat dalam agama Islam, iaitu sikap asas yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang beriman, kita hanya akan dapat mencintai saudara kita, menghormati mereka dan melakukan kebaikan ke atas diri mereka, jika kita memilki sifat ihsan (perbuatan yang baik, kebaikan, kemurahan hati) di dalam diri kita. Inilah akhlak Islam yang dibawa oleh Nabi saw untuk umatnya, sebagaimana juga sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak (manusia)”.

Perkara ini ditekankan lagi dengan firman Allah swt di surah Al Anbiya ayat 107 yang bermaksud: “Dan Kami (Allah) tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”. Inilah yang diajarkan oleh Allah swt dan RasulNya kepada kita sekalian, cara untuk menghindari sifat ananiyah iaitu dengan menanamkan sifat ihsan di dalam diri kita, kita tanamkan sifat kasih sayang, saling bantu menbantu diantara kita, kita lakukan perbuatan-perbuatan yang baik dalam bermuamalat sesama manusia, kita saling hormat menghormat didalam rumah tangga, jiran tetangga dan dalam pergaulan sesama masyarakat secara ‘am nya. Perbuatan ini semua sudah pasti dapat mendidik kita  untuk menghindarkan diri dari sifat ananiyah dan sekali gus menjauhkan penyakit stress dalam kehidupan kita. ......bersambung


 

Tekanan Hidup Di Negara Kosmopolitan


Tekanan Hidup (5 Rejab 1436-24 April 2015)

Saya terbaca di sebuah artikel baru baru ini, ia menyatakan bahwa masyarakat Singapura hari ini menghadapi tekanan hidup dan kehidupan mereka semakin stress, walaupun Negara ini termasuk dalam kategori negara-negara yang berkembang maju, dengan segala macam bentuk kesenangan hidup, kemudahan, teknologi dan gaya kehidupan yang semakin canggih, tetapi semua nya ini tidak memberikan kedamaian dan ketenangan yang didambakan oleh penduduknya.

Apabila dikaji asbab berlakunya perkara ini, artikel tersebut menyatakan ada empat perkara yang membuat keresahan dan stress dikalangan penduduk ini, iaitu :

(1). Materialistik/Kebendaan

Kajian tersebut mendapati dengan bertambah majunya Negara ini, maka penduduknya juga bertambah sibuk dan menyibukkan diri mereka dengan perkara-perkara yang bersifat kebendaan, mereka terkejar-kejar ingin mengumpulkan harta dan kekayaan mereka sebanyak mungkin, mereka berhempas pulas siang dan malam untuk menambahkan harta benda yang sedia ada, dan mencari jalan untuk memajukan lagi prestige, status dan kedudukan mereka, iaitu dengan meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka dengan mendapatkan tempat tinggal yang lebih baik, yang lebih sempurna, kenderaan yang lebih besar, gaya hidup yang lebih mantap dan sempurna, dan kepada yang miskin pulak mereka terpaksa bekerja keras untuk mencukupkan sangan pangan (basic need) sehari hari kerana kos kehidupan yang semakin tinggi.

Tanpa mereka sedari dengan berhempas pulas mengejar kebendaan ini, maka hati mereka disibukkan dengan segala macam perkara dan masalah yang perlu dihuraikan. Mereka menjadikan kebendaan ini sebagai tujuan dan matlamat kehidupan mereka, dan mereka menyangkakan kebendaan inilah yang akan memberikan mereka kebahgiaan, kesenangan dan kedamaian, tetapi sayang seribu kali sayang kebendaan yang mereka impikan ini sebenarnya hanya mendatangkan penyakit tekanan hidup yang berpanjangan.

Huraiannya:

Islam tidak melarang umatnya untuk berusaha semaksimal mungkin untuk bekerja dan berusaha menambahkan rezki dan harta nya, seperti pepatah yang menyatakan: “Bekerjalah kamu untuk kepentingan duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beribadatlah kamu untuk akheratmu seolah-olah kamu akan mati pada esok harinya” atau kekata : “Dunia ini adalah jambatan untuk Akherat”

Dan dengan lebih jelas lagi Allah swt telah mengatakan dalam firmanNya di surah A’laa ayat 16-17 yang bermaksud: “Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi, sedangkan kehidupan Akherat adalah lebih baik dan lebih kekal”

Perkataan-perkataan dan firman Allah swt diatas ini memberikan kita penerangan bahwa kehidupan akheratlah yang lebih utama bagi diri kita sebagai orang-orang yang beriman, jadi tiada salahnya jika  kita berusaha gigih mencari rezki dan harta, dengan niat kita lakukan semuanya ini dengan cara yang halal dan kita gunakan dijalan yang halal, kita manfaatkan harta yang kita miliki untuk beribadat, berzakat, berinfaq, bersadaqoh, meningkatkan lagi syiar Islam di bumi yang kita pijak dan gunakannya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah swt dan mencari keredaanNya, kerana tangan yang memberi itu adalah lebih baik dari tangan yang meminta dan kemiskinan itu dapat mendekatkan diri seseorang itu kepada kekufuran.

Insyallah jika kita dapat membetulkan niat kita dalam mencari harta iaitu semata-mata sebagai suatu ibadat dan kita manfaatkannya untuk beribadah, jiwa kita akan bertambah tenang, hati kita akan bertambah tenteram kerana kita telah menjadi hamba-hambaNya yang bersyukur, kita syukuri pemberian Allah swt ini dengan memanfaatkan harta dan kebendaaan yang kita miliki dijalan Allah swt......bersambung.

Thursday, April 23, 2015

Abuya

Bulan (April-2015) ini genap setahun Abuya kembali ke Rahmatullahi, semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas ruh nya, dan menerima segala amal solehnya dan mengolongkan beliau bersama hamba-hamba Nya yang dikasihi..amin


Aktiviti Awal 2015




Mount Batur Bali


Meraikan Anniversary Bersama Keluarga


Anniversary ke 24-2015, Garden By The Bay


Ideologi Zalim (11)


Ayat ini dengan jelas menerangkan kepada kita sekalian, apajua perubahan yang ingin diterapkan kepada sesuatu masyarakat atau ciri-ciri yang ingin diwujudkan dalam masyarakat tersebut, memerlukan kerjasama dari setiap pemimpin Islam dan badan-badan institusi Islam setempat untuk berganding bahu dalam melakarkan apajua perubahan atau bentuk acuan yang ingin diwujudkan, hanya dengan gandingan ini sajalah yang dapat membentuk ciri-ciri masyarakat Islam yang didambakan.

 

Kerjasama bersepadu ini perlu diwujudkan demi untuk memastikan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan ke atas masyarakat Islam setempat bersesuaian dengan kehidupan Negara yang berbilang bangsa dan agama, dan yang terpenting sekali nilai-nilai murni ini bertepatan dengan ajaran Islam yang bersifat wasathiyah yang mencerminkan keadilan dan mencernakan sifat ihsan dalam diri manusia.

 

Cabaran-cabaran Ideologi

 

Dewasa ini ada berbagai bentuk ideologi yang dianuti oleh berbagai latar belakang manusia, bangsa, agama dan juga negara-negara di dunia ini, pengertian idealogi[1] juga mempunyai berbagai tafsiran yang tersendiri, sudah pasti setiap ideologi yang dianuti ini ada persamaan dan perbezaan di antara satu dengan lainnya, akan tetapi setiap fahaman dan idealogi yang membawa kepada unsur-unsur kezaliman pada hakikatnya tidak ada hubung kaitnya dengan agama Islam, ajaran Islam melarang dan mengharamkan apajua bentuk kezaliman yang dilakukan oleh manusia, malah Islam memerintahkan agar setiap penganutnya menentang dan mencegah segala bentuk kezaliman dan kekejaman yang mengakibatkan kerusakan, kemusnahan dan penderitaan terhadap bumi dan penghuninya.

 

Semua pihak mempunyai peranan dan perlu bekerjasama menentang dan membendung segala unsur-unsur kezaliman, dan tidak ada pihak yang terkecuali dalam usaha ini, apajua latar belakang bangsa, agama dan idealogi yang mereka miliki, semua pihak mempunyai peranan yang perlu dimainkan bagi memastikan keamanan, kedamaian dan kemakmuran hidup manusia dapat dipelihara, kerana masalah yang dihadapi ini bukanlah satu masalah yang tertumpu khusus keatas sesuatu golongan, agama atau Negara tertentu saja, ia merangkumi setiap individu, dan semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan fahaman dan idealogi zalim ini dapat dikengkang dan tidak menpengaruhi pemikiran dan jiwa generasi mendatang, jika ini dapat dilakukan sudah pasti hasrat dan keinginan setiap pihak untuk mengecapi kemakmuran dan kedamaian di Dunia yang berbilang bangsa, budaya dan agama ini dapat dinikmati bersama, Insya Allah.

 

 
Sekian

Oleh Abdul Jalil Abdul Razak

15th Ramadhan 1428 Hijrah

27th September 2007



[1] http://www.wisegeek.com/what-is-ideology.htm
[2] Faktor kedua (dari muka surat 25) diantara faktor yang boleh menyebabkan seseorang bertindak zalim
[3] Pengeboman di Bali, kedutaan asing di Indonesia dan Afrika
[4] Pencerobohan di Afghanistan, Iran, Palestine dll.

Ideologi Zalim (10)


terbelalak, mereka datang bergegas-bergegas memenuhi panggilan dengan mengangkat kepalanya, sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong,, dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari ( yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim: “Ya Tuhan kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul”. (Kepada mereka dikatakan): “Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahwa sekali kali kamu tidak akan binasa?, dan kamu telah berdiam di tempat-tempat kediaman orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri, dan telah nyata bagimu bagaimana Kami telah berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan” dan sesungguhnya mereka telah membuat makar yang besar, padahal di sisi Allah lah (balasan) makar mereka itu, dan sesungguhnya makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya, kerana itu janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji Nya kepada rasul-rasulNya, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan”

 

Firman Allah swt di surah Al Kahfi ayat 29 yang berbunyi:

إنا أعتدنا للظالمين نارا أحاط بهم سرادقها و إن يستغيثوا يغاثوا بمآء كالمهل يشوى الوجوه بئس الشراب و سآءت مرتفقا

Yang bermaksud: “ Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka, dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka, itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek”

 

Begitu juga hadis yang telah diriwayatkan dari Qatadah dari Abul Mutawakkil An Naji dari Abu Sa’id Khudri r.a dari Rasulullah saw bersabda[1] :

عن قتادة عن أبى المتوكل الناجى عن أبى سعيد الخدرى رضى الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال : "إذا خلص المؤمنون من النار حبسوا بقنطرة بين الجنة و النار فيتقاصون مظالم كانت بينهم فى الدنيا حتى إذا نقوا و هذبوا أذن لهم بدخول الجنة فو الذى نفس محمد صلى الله عليه و سلم بيده لأحدهم بمسكنه فى الجنة أدل بمنزله كان فى الدنيا"

Yang bermaksud: “ Dari Qatadah dari Abul Mutawakkil An Naji dari Abu Said Khudri r.a dari Rasululah saw, beliau saw bersabda: “ Jikalau kaum mukminin yang zalim dapat selamat di waktu menyeberangi shirath (jembatan) yang diletakkan di atas neraka, lalu mereka itu di tahan di sebuah tempat pemberhentian yang letaknya antara syurga dan neraka (yang dimaksudkan ialah shirath yang ada di dekat neraka), Disitulah mereka itu diberikan balasan (qishash) dari kezaliman-kezaliman yang mereka kerjakan sewaktu di dunia ini dan yang terjadi antara mereka (yakni antara yang satu dengan yang lainnya), Hal itu terus berlaku sehingga apabila telah dianggap bersih (yakni telah diberi balasan qishash dengan sesempurna-sempurnanya serta dibersihkan segala macam dosanya, barulah mereka diizinkan untuk masuk syurga. Maka dari itu demi Dzat yang jiwa Muhammad saw ada di dalam kekuasaanNya, niscayalah seseorang dari mereka itu sewaktu telah mendiami tempatnya di surga adalah lebih mengenal akan tempat tinggalnya seaktu berada di dunia”

 

Dan sabda Nabi saw lagi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdul Aziz Al Majisyun, dia berkata: Kami diberitahu oleh Abdullah bin Dinar dari Abdullah bin Umar radiallahu anhuma dari Nabi saw bersabda:

قال :"الظلم ظلمات يوم القيامة"

Yang bermaksud: “Berbuat zalim (penganiayaan) itu menyebabkan adanya berbagai macam kegelapan (di akherat) pada hari kiamat”[2]

 

Begitu juga Nabi saw memberikan peringatan agar berhati-hati dan takut dari doanya orang yang dianiayai, kerana doa mereka pasti akan dikabulkan oleh Allah swt, ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Yahya bin Abdullah bin Shaifiy dari Abu Ma’bad (namanya sendiri Nafidz) yaitu hamba sahayanya Abdullah bin Abbas dari Ibnu Abbas radiallahu anhuma bahwa sesungguhnya Nabi saw mengutus Mu’adz ke Yaman Idan diangkat sebagai gubernur di daerah wilayah Yaman itu, disamping itu juga diperintah supaya mengajar penduduknya perihak syariat-syariat agama Islam, juga mengambil zakat dan sedekah mereka), lalu beliau bersabda[3] :

"فقال اتق دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجاب"

Yang bermaksud: “Berhati-hatilah atau takutlah akan doanya orang yang dianiaya (di zalimi), sebab antara doanya dan Allah tidak ada penghalangnya (yakni bahwa doanya itu pasti dikabulkan)”

 

Dari firman dan sabda ini dapatlah diambil kesimpulan, betapa besarnya ancaman dan balasan azab yang Allah swt sediakan kepada mereka-mereka yang melakukan kezaliman di akherat nanti, walaupun mungkin orang yang melakukan kezaliman dapat hidup dalam keadaan mewah dan berkuasa sewaktu di dunia, atau mereka tidak ditimpa dengan apa-apa kesulitan dan kesengsaraan hidup ketika di dunia, tetapi diakherat nanti Allah swt akan menimpakan ke atas diri mereka sebesar-besar azab sebagai ganjaran perbuatan zalim mereka sewaktu hidup di dunia.

 

Mencegah Dan Membendung Kezaliman

 

Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa berusaha menbendung apajua bentuk kezaliman yang berlaku, dan ini merupakan satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman, kerana membiarkannya berlaku tanpa pencegahan merupakan selemah-lemahnya iman seseorang hamba kepada Allah swt, Allah swt memberikan gelaran Khaira Ummah[4] kepada hambaNya yang beriman kerana mereka memiliki sifat untuk mencegah dan membendung segala bentuk kemungkaran, dan agama Islam juga mengalakkan kepada kita sekalian agar memberikan pertolongan kepada saudara kita, baik dia yang melakukan kezaliman atau dia yang dizalimi, ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ubaidullah bin Abu Bakar bin Anas dan Humaid Thawil bahwa ia mendengar Anas bin Malik r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:

عن عبيد الله بن أبى بكر بن أنس و حميد الطويل سمع أنس بن مالك رضى الله عنه يقول قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : "انصر أخاك ظالما أو مظلوما"

Yang bermaksud: Dari ‘Ubaidullah bin Abu Bakar bin Anas dan Humaid Thawil bahwa dia mendengar Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah saw bersabda: “Berikanlah pertolongan kepada saudaramu itu, baik ia sebagai orang yang berbuat penganiayaan (penzalim) ataupun orang yang dianiaya (di zalimi)”[5]

 

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan dari Mu’tamir dari Humaid dari Anas r.a dia berkata, Rasulullah saw telah bersabda:

عن معتمر عن حميد عن أنس رضى الله عنه قال ,قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: " انصر أخاك ظالما أو مظلوما" قالوا يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما, قال : "تأخذ فوق يديه"

Yang bermaksud: “Dari Mu’tamir dari Humaid dari Anas r.a, ia berkata: Rasulullah saw bersabda: “Berikanlah pertolongan saudaramu itu, baik ia sebagai orang yang melakukan kezaliman atau sebagai orang yang zalim”, Para sahabat sama bertanya: Apabila ia tergolong orang yang dianiaya, kita lalu menolongnya, maka hal itu telah kita maklumi, tetapi bagaimanakah kita akan memberikan pertolongan kepada saudara yang justeru sebagai orang yang menganiaya? Beliau saw lalu bersabda: “Kita ambil di atas kedua tangannya”[6]

 

Hadis di atas ini memberikan kita panduan agar kita senantiasa berusaha membantu bukan hanya kepada saudara kita yang dizalimi tetapi juga kepada saudara kita yang melakukan kezaliman, kita wajib melarang dia dari terus menerus melakukan kezaliman, iaitu dengan berusaha mencegah dengan tenaga (kemampuan) kita, atau dengan ucapan kita atau kita melaporkan perbuatan mereka kepada pihak yang bertanggung jawab yang dapat menghentikan perbuatan zalim yang dilakukan mereka.

 

Implikasi Kezaliman Dan Pengaruh Internet

 

Sifat dan fahaman zalim jika dibiarkan berleluasa dan tidak dibendung sudah pasti menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan manusia, sebagai contoh jika kezaliman itu dimiliki oleh sesorang individu sudah pasti sifatnya itu akan mengakibatkan keburukan kepada mereka yang berada disampingnya, suami misalnya jika mempunyai peri laku dan tindak tanduk yang zalim, sudah pasti sifatnya ini akan ditimpakan ke atas anak dan isterinya, sehingga tiada lagi sakinah dan perasaan muwaddah wa rahmah dalam rumah tangga yang dibina, begitu juga sifat penguasa yang zalim, sudah pasti menimbulkan kesengsaraan dan penderitaan ke atas rakyatnya, samalah juga dengan seseorang yang kuat menzalimi dan menganiayai individu yang lemah atau sebuah Negara yang kuat mencerobohi ke atas sebuah Negara yang lemah.

 

Jika hal ini dibiarkan berlaku, maka akan hilang lah kedamaian dan kemakmuran hidup yang didambakan, timbullah perbuatan zalim dibalas dengan kezaliman, penganiayaan dibalas dengan penganiayaan yang serupa, hasad dan dengki akan bermaha rajalela, manusia akan kehilangan arah dalam membina kemakmuran hidup, hilang kedamaian dan wujud pula budaya zalim, sehingga sifat ini dibudaya dan terbina dengan sendirinya dalam diri manusia, inilah yang sedang dihadapi oleh kebanyakan Negara, dimana terdapat rakyatnya menjadi “Self Radicalism[7] atau terpengaruh dengan sendirinya idea-idea radikal tanpa perlu berguru, sifat ini bukan lah suatu fenomena atau satu perkara yang luar biasa kejadiannya, perkara ini boleh berlaku ke atas setiap individu, bangsa, agama ataupun Negara, disebabkan oleh faktor-faktor yang telah dikemukakan sebelum ini[8], ia hanya menjadi fenomena dengan ada alat teknologi yang semakin canggih.

 

Peranan teknologi dan media massa yang semakin canggih inilah yang telah mencorak pola pemikiran setiap individu dalam menilai sesuatu pergolakan dunia yang berlaku, berbagai maklumat yang tersebar di lelaman cyber yang dapat diperolehi dengan klik jari jemari (internet) dan maklumat berita secara lintas langsung dari seluruh dunia, ini semua memberikan gambaran kepada penguna seolah-olah pergolakan sedang berlaku didepan mata kepala mereka sendiri, sehingga memberikan kesan mendalam dalam diri individu tersebut dalam menilai pespektif dan hal ehwal dunia yang tanpa batasan.

Kecanggihan teknologi maklumat yang seumpama inilah yang sedang mencorak pola pemikiran generasi-generasi muda sekarang ini, kesan ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dilakukan oleh:  Crimes Against Children Research Center University of New Hampshire 126 Horton Social Science Center Durham berhubung pengaruh Internet terhadap golongan muda, iaitu dalam kajian yang bertajuk: “Survey of Internet Mental Health Issues (SIMHI)” [9], menunjukkan kesan dan pengaruh negatif dari internet ini telah dengan mudah membentuk pola pemikiran golongan muda, sebagai contoh dalam kajian yang dilakukan mereka, dari 1504 kes yang dikaji lebih dari 60% daripada jumlah tersebut (pengguna Internet) telah menyalah gunakan maklumat yang ada, sehingga menpengaruhi pola pemikiran dan kehidupan mereka.


Begitu juga dalam kajian yang dilakukan oleh Institusi Pew Internet and American Life, kertas kerja yang berjudul “The Future of The Internet[10] yang di susun oleh Susannah Fox, Associate Director, Janna Quitney Anderson, Elon University dan Lee Raine, Director, mereka mendapati dalam tempoh sepuloh tahun mendatang pengaruh internet akan bertambah luas dan begitu penting sehingga merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.


Ini dapat dilihat dalam kajian yang dilakukan oleh mahasiswa Nanyang Technological University (NTU) Singapura pada tahun 2000-2001 yang bertajuk: “Singapore Internet Project”[11] mendapati ketika itu saja sudah terdapat hampir 90% dari kalangan para pelajar mengunakan teknologi ini dan semakin ramai pula diantara mereka yang ketagihan[12] dengan penggunaan internet, bayangkan kesan negatif jika pola pemikiran generasi muda ini dipengaruhi oleh unsur-unsur radikal yang mencorak pemikiran mereka melalui internet, sudah pasti kesannya akan lebih memudaratkan lagi.


 

Idealogi Zalim Dan Internet

 

 

Fahaman-fahaman yang bersifat zalim dan tidak berperi kemanusiaan tidak akan berkembang tanpa seorang guru yang mengajar dan mendidik idealogi tersebut kepada seseorang individu, tetapi dengan wujudnya teknologi tanpa sempadan ini, manusia seolah-olah tidak lagi memerlukan guru untuk mendidik dan mencorak pola pemikiran mereka, tidak ada lagi pihak yang perlu membimbing dan menasihati mereka dalam menentukan halal dan haram, kerana sudah terdapat alternatif lain yang dapat mengambil tempat sebagai seorang pendidik untuk mewarnai kehidupan yang mereka inginkan, bagi diri mereka persekolahan (berguru) hanya bersifat formaliti saja yang tidak dapat memberikan kesan pendidikan yang mendalam bagi diri (rohani) mereka.

 

Tidak hairanlah ada sebagian dari kalangan muda mudi[13] yang terpengaruh dengan maklumat Internet yang didapatinya, hingga sanggup mengambil tindakan yang begitu radikal tanpa sebarang bimbingan, ini dikeranakan teknologi ini sudah dapat memainkan peranan sebagai guru dan pembimbing, dan alat ini sudah cukup sempurna buat diri mereka untuk menjadi tempat sebagai guru, yang dapat mereka jadikan panduan dalam segala tindakan yang ingin dilakukan, inilah yang dinamakan “Self Radicalism” iaitu sifat terpengaruh dengan fahaman-fahaman radikal dengan sendirinya melalui sumber maklumat yang mereka perolehi dari Internet.

 

Kewujudan teknologi Internet ini juga telah memudahkan sifat “Self Radicalism” dan Idealogi zalim berkembang dengan begitu pesat dan mudah dikalangan masyarakat Islam awam yang kurang ilmu pengetahuan agama, walaupun mereka mempunyai pendidikan akademik yang baik[14], khususnya di kalangan generasi muda yang ingin mencari kebenaran agama, yang menjadikan teknologi internet sebagai sebagian dari budaya dan panduan hidup mereka dalam menimba ilmu, tetapi dikeranakan mereka jahil tentang asas-asas ilmu pengetahuan agama dalam membezakan yang hak dan yang bathil, maka mereka dengan mudah terpengaruh dengan fahaman zalim ini, dan inilah yang telah dimanfaatkan oleh golongan tertentu, untuk menyebarkan idealogi mereka kepada golongan-golongan yang daif dalam mencari kebenaran, dan jahil dalam membezakan hukum hakam yang digariskan oleh Allah swt, sehingga mereka mudah terpengaruh dan mengambil tindakan yang sesat lagi menyesatkan.

 

Salah satu sebab utama mengapa Idealogi zalim dan fahaman “Self Radicalism” ini berkembang dengan mudah melalui sumber internet dikalangan masyarakat awam, adalah disebabkan pendekatan psikologis[15] yang digunakan oleh golongan tersebut untuk mewar-warkan fahaman dan idealogi mereka dengan menengahkan gambar video perjuangan mereka di dalam internet, yang dapat menimbulkan perasaan simpati ke atas perjuangan mereka, lalu masyarakat awam yang daif ini terjebak dan cenderung dengan pendapat dan pandangan yang membolehkan perbuatan-perbuatan yang bersifat zalim ini, Sifat simpati dan cendurang dengan idealogi dan tindakan-tindakan melampau ini juga telah dilarang oleh Allah swt sebagaimana firmanNya[16].

و لا تركنوآ إلى الذين ظلموا فتمسكم النار و ما لكم من دون الله من أوليآء ثم لا تنصرون

Yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"

Cenderung kepada orang-orang yang zalim maksudnya mengauli mereka serta meredai perbuatannya, tetapi jika bergaul dengan mereka tanpa meredai perbuatannya dengan maksud agar mereka kembali kepada kebenaran atau memelihara diri, maka dibolehkan[17], Dari ayat ini juga dapat diambil kesimpulan bahwa dengan hanya meredai sesuatu perbuatan yang zalim merupakan suatu kesalahan besar disisi agama Islam, maka lebih-lebih lagi jika seseorang itu sampai melakukan perbuatan-perbuatan yang zalim, yang bertentangan dengan ajaran dan syariat Islam, sudah pasti kesalahan dan dosanya lebih besar disisi Allah swt.

 

Kombinasi diantara fahaman zalim dan budaya internet inilah, yang sebenarnya telah menjadi fenomena mengapa berlakunya tindakan-tindakan zalim diberbagai peringkat masyarakat dari mancan Negara, dan kesan ini akan lebih menonjol jika terdapat sesebuah masyarakat atau negara yang dizalimi, dimana pengaruh internet yang ditayangkan mengambarkan dengan jelas penderitaan dan kekejaman yang dilakukan ke atas masyarakat dan Negara tersebut, sehingga dengan mudah meyemarakkan lagi sifat simpati kepada mereka yang tertindas dan meningkatkan lagi emosi dan perasaannya untuk membantu dan menolong pihak yang tertindas dengan apajua cara yang dimiliki, sifat bersimpati inilah yang telah mendorong mereka untuk mengambil tindakan dengan alasan ingin menegakkan keadilan.

 

 

Menggengkang Fahaman Zalim

 

Dalam kontek kehidupan Negara Singapura yang berbilang bangsa, budaya dan agama, setiap individu mempunyai tanggong jawab untuk memastikan kemakmuran dan kedamaian negara senantiasa dipelihara, setiap individu mempunyai peranan untuk melaksanakan tugas ini, tidak kira apa juga latar belakang agama dan budaya sesuatu bangsa tersebut, mereka tetap berkewajipan menjaga keharmonian dan kesejahteraan Negara mereka, umat Islam juga tidak terkecuali memainkan peranan mereka[18] dalam masalah ini, setiap individu Muslim mempunyai peranan bagi memastikan fahaman atau idealogi zalim ini tidak berkembang dikalangan golongan belia Muslim di Negara ini.

 

Pada hakikatnya masyarakat belia Islam di Negara ini amat mudah terpengaruh dengan fahaman dan idealogi ini, ini di keranakan majoriti dikalangan mereka tidak mendapat bimbingan dan pendidikan Islam yang sempurna, kajian[19] menunjukkan terdapat hanya 40% daripada 108,000 golongan belia yang berusia dari 5 hingga 17 tahun yang mendapat pendidikan dasar agama, ini jelas menunjukkan terdapat lebih dari 60,000 belia dalam usia yang masih dini, tidak berkesempatan mendapat asas-asas pendidikan agama sebagai bekalan mereka dalam menghadapi cabaran fahaman-fahaman radikal di dalam Internet dan media massa yang akan membentuk pola pemikiran mereka.

 

Keprihatinan ini telah disedari oleh para pemimpin setempat sehingga diadakan suatu konference yang berjudul:’Progressive Islam And The State In Contemporary Muslim Societies[20] pada 7th – 8th March 2006, dimana para cendikiawan Islam dari bebagai Negara dijemput untuk membentangkan kertas kerja bagi membincangkan bentuk-bentuk Islam yang progresif dan kedudukan ciri-ciri masyarakat Muslim masakini di Negara yang majmuk ini, berbagai pemikiran, pandangan dan saranan yang dibahaskan dalam seminar yang dihadirin oleh para pemimpin dunia dan tempatan dari berbagai latar belakang dan agama.

 

Masalah ini telah lama dirasai oleh pemimpin-pemimpin Islam dan para alim ulama’  setempat, semenjak dulu lagi, mereka telah memberikan tekanan akan pri penting nilai-nilai Islam diterapkan ke atas golongan belia semenjak kecil, sepertimana kata pepatah melayu : “Melentur buloh biar dari rebungnya”, berbagai usaha gigih telah dijalankan oleh badan-badan dan Institusi Islam[21] di Negara ini, bagi memastikan setiap belia diberikan kesempatan untuk mengecapi dasar-dasar pendidikan agama, tetapi hakikatnya masih banyak lagi yang perlu dilakukan dalam menanggani masalah ini, cabaran yang perlu dihadapi bukan sahaja untuk berusaha menyampaikan asas-asas agama kepada para belia ini, tetapi juga untuk mencari kaedah, cara, metodologi dan pendekatan yang terbaik bagi memastikan ciri dan identiti Islam yang ingin diterapkan kepada mereka bertepatan dengan fahaman ummah yang bersifat wasathiyah[22] (pertengahan) iaitu yang tidak terlalu konservetif atau terlalu bersifat liberal[23].

 

Ini sebagaimana yang di firmankan oleh Allah swt di surah Al Baqarah ayat 143 yang berbunyi:

و كذلك جعلناكم أمة وسطا لتكونوا شهدآء على الناس و يكون الرسل عليكم شهيدا

Yang bermaksud: “Dan demikian (pula) Kami (Allah) telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”

 

Umat Islam digalakkan untuk menjadi umat yang bersifat adil dalam apajua bentuk dan tindakan yang ingin diambilnya, sifat keadilan ini hanya dapat dicerna dan diwujudkan dengan penerapan nilai-nilai Islam yang sesuai dan bertepatan dengan kaedah pendidikan Islam yang murni, nilai ini hanya dapat diwujudkan dengan kerjasama dan gandingan ulama’ dan umara’ dalam mencorak identiti masyarakat Islam yang diimpikan, dengan gabungan ini pendidikan dan pola pemikiran masyarakat akan dapat dibentuk dengan acuan yang bersesuai dengan situasi dan kondisi sesebuah masyarakat tersebut berada.

 

Cabaran Penerapan Nilai

 

Sebagai sebuah masyarakat minoriti yang menghadapi bebagai sumber yang terbatas, bukan lah suatu perkara mudah untuk menggengkang pengaruh idealogi zalim dikalangan masyarakat belia setempat, begitu juga tiada jalan pintas yang boleh diambil untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi ini, keprihatinan terpengaruhnya fahaman Idealogi zalim dan radikal ini bukan hanya terbatas kepada golongan belia sahaja, malahan golongan dewasa juga dapat terpengaruh dengan idealogi ini, cuma kesannya lebih ketara terhadap golongan muda kerana kecendungan mereka kepada perkembangan teknologi internet dan sikap mereka yang lebih berani mengambil risiko dalam melakukan tindakan yang bersifat radikal.

 

Penerapan nilai-nilai yang ingin diterapkan bukanlah suatu perkara yang boleh dilakukan ibarat “cut and paste” iaitu seperti mencontohi sesebuah Negara atau masyarakat tertentu dengan bentuk atau acuan yang diinginkan, lalu menerapkan contoh tersebut kepada masyarakatnya, perkara ini tidaklah semudah itu dan jika ini dilakukan sudah pasti akan mewujudkan masyarakat yang bersifat superfisial yang kelihatan indah dipermukaan saja, tetapi tidak memcerminkan Islam yang murni dalam penghayatannya, kerana apajua bentuk perubahan khususnya perkara-perkara yang bersifat idealogi yang berkait rapat dengan keyakinan diri, atau fahaman yang mencorak pola pemikiran manusia, perubahan ini hanya dapat dilakukan dari dalam atau oleh masyarakat itu sendiri, sepertimana yang ditegaskan oleh Allah swt dalam firmanNya di surah Ar Ra’d ayat 11 yang berbunyi:

"إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم"

Yang bermaksud: “Sesunggunya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”



[1] Shahih Bukhary : Bab Qishah atau Balasan Orang Zalim , hadis 2350
[2] Shahih Bukhary Bab melakukan Kezaliman hadis no. 2357
[3] Shahih Bukhary  Bab berhati-hati dan takut dari doanya orang yang dianiaya, hadis no. 2358
[4] Surah Ali Imran ayat 110
[5] Shahih Bukhary Bab memberi pertolongan kepada saudara yang zalim dan yang dizalimi, hadis no.2353
[6] Shahih Bukhary, hadis no. 2354
[7] http://www.answers.com/topic/radicalism
[8] Idealogi Zalim: Faktor-faktor sifat kezaliman.
[9] http://www.unh.edu/ccrc/survey_internet_mental_health.html
[10] http://www.pewinternet.org/pdfs/PIP_Future_of_Internet.pdf
[11] http://www.ntu.edu.sg/sci/research/pdf/2000StudentDetailedFindings.pdf
[12] http://www.netaddiction.com/articles/personality_correlates.pdf
[13] http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,97990,00.html : Abdul Basheer: Dari Radikal Sosial Ke radikal Agama, 12 Jun 2007
[14] http://www.pvtr.org/pdf/commentaries/RSIS0852007.pdf : India in the face of global Jihad
[16] surah Hud ayat 113
[17] Al Quran dan Terjemahnya surah Huud ayat 113, nomor pengertian 740.
[18] Fighting Terrorism compiled by Abdul Halim bin Kader : Men on a mission, Battling JI belief, spreading truth, by Zakir Hussain, quoting : Love For Nation
[19] http://www.todayonline.com/articles/207460print.asp
[20] http://www.ntu.edu.sg/rsis/publications/conference_reports/ProgressIslamConference06.pdf
[21] http://www.darulmakmur.org/articles,nota.pdf, http://www.perdaus.org.sg/mgosh/data/ET/Overview-Pergas-Perdaus_.pdf, http://www.i-andalus.com/artikel/Kertas Kerja Wacana.pdf, http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,102329,00.html pelan pendidikan Muis.
[22] Al Baqarah ayat 143
[23] http://ms.wikipedia.org/wiki/Liberalisme,http://www.i-andalus.com/artikel/Kertas Kerja Wacana.pdf