Tuesday, December 27, 2016

Hari Akherat (3)


Faham Kaum Spritualist

Sudah menjadi kenyataan bahwa akal, fikiran cinta dan sebagainya adalah menjadi pendorong dari kemajuan jasmani, hasil yang jadi daripada fikiran terdapat dalam serba serbi segi kehidupan, manusia tidaklah sempurna insaniyahnya kalau bukan kerana fikirannya. Jelas sekali bahwa fikiran, atau akal atau nyawalah yang mengatur benda, bagaimana akan dikatakan fikiran yang lebih mulia itu sebagai hasil daripada benda yang tidak berkuasa atas dirinya? Adakah daripada “atom” yang kecil itu akan timbul syair shaffire?

Faham serba nyawa menginkari pendapat serba benda itu, bahkan menetapkan bahwa yang ada itu hanyalah nyawa semata-mata, dan benda adalah hasil daripada nyawa, bagaimana engkau dapat mengetahui dan mengatakan bahwa sesuatu itu ada? Apakah semata mata dengan mata mu? Bagaimana kelak pendapat orang lain yang tidak melihat? Apakah semata lantaran engkau dengar dengan telinga mu? Bagaimana orang yang tidak mendengar? Engkau lihat sesuatu barang, misalnya bulan purnama! Engkau melihat dan orang lain pun melihat, tetapi dia Nampak bulan itu, dan engkau tidak melihat, sebab fikiranmu sedang terhadap kepada yang lain.

Sebab itu maka yang sebenarnya ada ialah fikiran mu, ialah nyawa mu, sebagai sumber dari fikiran, ialah kesedaran mu sebagai nyawa!

Serba Dua

Tentu saja kedua aliran ini mendapat perdamaian pada faham serba dua, itulah yang terkenal dengan nama “Dualisme” benda dan nyawa, hidup dan mati, tinggi dan rendah, lahir dan batin, fasif dan aktif, positif dan negetif.

Adakah pintu keluar?

Dengan jalan begini saja sudahkah selesai soal? Yang kita bicarakan ini adalah falsafah. Selama dunia terkembang, selama fikiran masih ada, selama manusia masih bersifat “ingin tahu” segala soal ini akan tetap begitu keadaannya. Disamping filosof-filosof besar yang tidak mengakui adanya nyawa, apatah lagi adanya hidup dibelakang hidup yang sekarang ini, ada yang dari segi falsafah sangat percaya akan adanya hidup akherat itu, yang mayshur ialah socrate, beliau tidaklah takut akan mati dihukum, disuruh meminum racun, kepada muridnya Crito dan Plato, seketika dia akan mati meminum racun dia memesan bahwa dia sekali-kali tidak takut akan mati sebab dia percaya bahwa hidup yang akan ditempohnya lebih bahgia, lebih indah daripada hidup yang sekarang ini.

Muridnya Plato pun percaya, juga dari segi falsafah, bahwa dbelakang hidup yang nyata sekarang ini adalah hidup yang lebih tinggi dan mulia, yang kerana kita semuanya ingin menuju, sebab dari sana dahulunya kita datang, itulah yang dinamai “Idealisme Plato”.

Yang tidak percaya tentu membantah, tetapi dia tidak dapat menunjukkan bukti tidak nya, yang percaya hanyalah semata-mata dengan kepercayaan dan tidak pula dapat membuktikan adanya hidup akherat itu, terus terang kita katakan, bahwa belum ada orang yang pulang kembali dari kuburnya, lalu menerangkan kepada kita, bukan secara dalam mimpi, bahwa ada lagi hidup dibelakang hidup ini.

Sebab itu maka kalau hendak memandangnya dari segi falsafah, tidaklah akan putus-putusnya soal ini, falsafah tidaklah sanggup memberikan keputusannya tentang hal yang ghaib! Setinggi-tinggi kesanggupan falsafah terhadap kepada yang ghaib, hanyalah falsafah “Pragmatisme” yang terkenal, iaitu menilai sesuatu jalan fikiran kerana “Faedahnya” apakah faedahnya kamu percaya kepada Tuhan? Faedahnya ialah jiwa mu tenteram jika mendapat bencana, apakah faedahnya engkau percaya kepada hari akherat? Jiwa mu pun tenteram jika kamu ditimpa kekecuaian dalam perjuangan hidup, sebab ada lagi yang kamu harapkan dibelakang hidup ini, kamu cinta kepada anak mu yang telah mati, kalau engkau tidak percaya kepada hari akherat tidaklah ada harapan pada mu buat bertemu dengan dia, kamu dianiayai orang di dalam hidup ini kamu di hukum padahal kamu tidak bersalah, dengan kepercayaan kepada hari akherat, terubatlah kecewa hati mu, disana nanti engkau akan dihadapkan kembali kemuka hakim yang adil! Disana si jujur menerima bekas pahalanya dan si curang mendapat ganjaran yang setimpal.

Baik, saya telah menganut faham Pragmatisme dalam hal hari akherat, sudahkah cukup? Nescaya belum, sebab setengah orang pun mengatakan bahwa faham Pragmatisme adalah pernyataan daripada kelemahan dalam menyerah kalah.

Sekali lagi kita katakana, dengan falsafah saja tidaklah akan cukup mengambil kendali hidup ini, hidup perlu kepada kendali.

Tuesday, December 13, 2016

Hari Akherat (2)


Faham Kaum Materialist

Menurut faham materialist nyawa itu tidak ada, nyawa adalah bekas dari benda, sebagaimana kesehatan untuk menimbulkan fikiran, dan perut menginginkan makanan makan gabungan benda yang menjadi badan ini, kalau telah sempurna jalannya, timbul lah akibatnya, iaitu nyawa, maka apabila darah tidak berjalan lagi, hilanglah apa yang dinamai hidup, dan benda senantiasa berubah ubah sifatnya. Sekali dia menjadi tubuh manusia, sekali dia menjadi tanah kembali dan menimbulkan tumbuh tumbuhan, sehingga sebagaimana pernah disyairkan oleh Umar Khiyam “Mungkin piala tempat mu minum itu adalah bekas daging dan darah nenek moyang mu, sebab itu berjalanlah perlahan diatas bumi, kerana mungkin yang engkau injak itu bekas tubuh manusia”

Kalau seseorang manusia mati, bukanlah dia mati melainkan berubah sifat dan bentuknya, badan ini kata mereka adalah kekal dalam perubahan dan berubah dalam kekalan, apa yang dinamai nyawa, jiwa, fikiran, akal, dan hidup, adalah bekas benda belaka, dan fikiran itu pun dipakai turun temurun oleh anak cucu, keturunan dari orang yang telah terdahulu, sebab itu maka hidup itu hanya semata dalam linkungan yang sekarang ini saja, tidak ada hidup lagi di alam yang lain, tidak ada akherat.

Kaum materialist ini dinamai juga kaum “Dahri”, tentu saja besar bantahan dari filosof lain atas pendirian ini, iaitu filosof “Spritualist” yang memandang benda itu sendiri tidaklah ada pada hakikatnya, yang sebenar ada ialah ruh adapun benda adalah bekas dari ruh.

Siwa Egypt




Hari Akherat -(HAMKA)


Percaya Kepada Hari Akherat

Adakah hidup sesudah hidup yang sekarang?

Inilah soal yang selalu timbul dalam otak manusia, bahkan inilah soal yang telah dicuba memecahkannya sejak manusia mulai pandai mempergunakan fikirannya, bukan saja dalam lapangan fikiran agama, bahkan juga dalam lapangan fikiran falsafah, adakah nyawa kita ini sebagai benda kasar kita juga, iaitu hilang lenyap bersama hilang lenyapnya tubuh masuk kubur?

Pengajian tentang hilangnya nyawa bersama hilangnya tubuh, atau khulud (kekal) nya nyawa, adalah pengajian yang telah amat tua, amat sulit mengaji soal ini dengan semata-mata fikiran. Sebab yang mencari itu sendirilah yang dicari, untuk mencari jawapan atas kekal atau tidak kekalnya, terlebih dahulu orang harus memecahkan soal: adakah nyawa itu ada atau tidak! Kalau hukum tentang yang ada hanya hendak ditetapkan kerana mendapat zatnya, selamanya tidak akan bertemu, termasuk zat yang manakah? Adakah dia semata-mata chaya atau dia pun benda? Bukti tentang adanya lebih banyak didapati kerana bekasnya, siapa itu yang tidak puas dan selalu mencari? Yang selalu ingin tahu? Yang menderita sedih, marah, murka, sayang benci dan gembira?

Mengatakan bahwa nyawa tidak kekal, dia hilang bersama hilangnya tubuh, hanyalah semata-mata suatu keputusan saja, keputusan yang dikeluarkan dengan tidak cukup bukti-bukti,  sehingga setelah keputusan diambil, kepuasan belum juga ada.

Lalu setengah ahli ilmu jiwa mencari permecahan soal dari segi lain, manusia itu sendiri-katanya- tidaklah puas kepada hasil hasil yang dicapainya di dalam hidupnya, dia tahu bahwa tidaklah semua apa yang diharapkan dapat tercapai. Manusia merasai banyak sekali terdapat keadaan yang pincang di dunia ini. Beberapa banyaknya pekerjaan yang telah dirancang, tetapi akhirnya yang lain yang bertemu. Berapa banyaknya orang jujur teraniaya, orang curang naik daun, maka selama didunia ini juga tidaklah akan ada kepuasan, oleh kerana yang demikian, maka kecintaan kepada hidup itulah yang menyebabkan manusia merindui lagi hidup yang lebih baik dari hidup duniawi ini, yang disana tidak ada lagi segala persengketaan.

Keputusan analisa ahli ahli ilmu jiwa ini pun belumlah memuaskan orang, kerana dengan kepuasan demikian, bukanlah soal menjadi pecah, hanyalah menambah keraguan dan bahayanya bagi hidup pun bukan sedikit.

Thursday, May 12, 2016

Ayah Tercinta


“Ayah Tercinta, Anugerah & Tunggak Kekuatanku”.

 

Amanah adalah sifat yang mulia bagi diri seorang Insan, dan tiada sifat yang lebih mulia yang dapat mengatasi sifat amanah bagi seseorang yang telah dapat melaksanakan tanggong jawab dan amanah nya dengan sempurna. Begitu lah juga kedudukan seorang yang bergelar “Ayah”, beliau memegang amanah dan tanggong jawab yang paling berat didalam kehidupannya, beliau memegang watak yang berbagaian, kerana beliau adalah seorang bapa kepada anak-anaknya, seorang suami kepada pasangan hidupnya, dan seorang anak kepada kedua orang tuanya, beliau juga adalah seorang pemimpin, yang perlu melaksanakan segala amanah dan tanggung jawabnya dengan adil, kerana amanah dan tanggung jawab ini, akan dipikulnya bukan hanya di dunia tetapi juga di akherat nanti. Ini sebagaimana yang di riwayatkan oleh Abdullah Bin Umar r.a bahwa Nabi saw telah bersabda yang bermaksud:

 

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggung jawabkan diatas kepemimpinan nya, seorang Imam (ketua Negara) adalah pemimpin dan akan dipertanggung jawabkan keatas rakyatnya, seorang suami dalam keluarganya adalah pemimpin dan akan dipertanggung jawabkan atas keluarganya….…..” (Riwayat Imam Al Bukhari)

 

Gelaran dan martabat seorang Ayah itu begitu mulia sekali dalam pandangan Islam, kerana gelaran ini mewajibkan seseorang itu memikul amanah dan tanggung jawab yang berat dipundaknya, baik buruk sesebuah keluarga itu, banyak bergantung sejauhmana seorang yang bergelar “Ayah”  memainkan peranannya sebagai seorang pemimpin dan ketua keluarga, dan sejauhmana pula beliau melaksanakan amanah dan tanggong jawabnya dengan penuh keadilan.

 

Jika seorang Ayah itu dapat melaksanakan amanah dan tanggung jawabnya dengan baik dan adil keatas keluarganya, maka diakherat kelak, sudah pasti beliau akan mendapat keredaan Allah swt, dan seterusnya dianugerahkan dengan ganjaran yang setimpal disisi Allah swt, kerana beliau telah berjaya melaksanakan amanah dan tanggung jawabnya dengan baik dan telah dapat memimpin keluarganya ke jalan kebaikan, tetapi sebaliknya, jika beliau mengabaikan amanah dan tanggung jawabnya, dan mensia-siakan gelaran dan martabat yang beliau sandang, maka sudah pasti beliau akan mendapat kemurkaan Allah swt di akherat nanti.

 

Pencalonan Qudwah Hasanah tahun ini banyak memberikan tumpuan kepada seorang “Ayah” yang telah dapat memikul amanah dan tanggong jawabnya dengan adil, memimpin keluarganya dengan penuh dedikasi, berkorban dengan jiwa dan raganya dalam memimpin dan membesarkan anak-anak mereka, tetapi dalam masa yang sama, tetap dapat melaksanakan tanggung jawabnya kepada masyarakat dan Negara, inilah contoh Qudwah Hasanah yang bersifat holistik yang ingin ditunjolkan bagi mereka yang dicalonkan pada tahun ini .

 

Semoga pada tahun-tahun mendatang lebih ramai lagi para Ayah, khususnya kepada Ayah-ayah muda yang masih lagi mempunyai tanggungan kepada anak-anak mereka yang masih bersekolah, dapat tampil dan mengongsi pengalaman dan pengorbanan mereka dalam mendidik, membimbing, memimpin dan membesarkan anak-anak mereka dalam kontek kehidupan yang semakin canggih dan mencabar ini, akhir sekali semoga Allah swt senantiasa memberikan kita pertunjuk, taufik dan hidayahNya, memberikankan kita kesabaran dan ketabahan dalam membimbing keluarga kita ke jalan yang diredai Allah swt, baik di dunia mahupun di akherat…amin

 

Wassalam

 

Ustaz Abdul Jalil Bin Abdul Razak

9th Mei 2016