Monday, November 30, 2015

Duhai Anak-anak Abi 2


Seterusnya Abi ingin memberikan kata-kata nasihat untuk anak Abi yang kedua, iaitu : N.U.R  S.Y.A.I.E.Q.A.H.

Nilai murni dan maruah diri mu adalah sesuatu yang paling berharga dalam hidup ini, peliharailah ia dengan jiwa dan raga mu, hiasilah nilai-nilai ini dengan akhlak dan tingkah laku yang murni, sifat sopan santun yang terpuji dan amal ibadat yang mendidik diri mu menjadi wanita yang sholehah, ingatlah tiada nilai yang lebih berharga yang dapat kita semai dan simpan kecuali maruah dan harga diri.

Umpamakanlah diri mu ini ibarat musafir yang sedang berehat sebentar dibawah pohon dari terik mentari, begitu jugalah dengan dirimu didunia ini, engkau ibarat musafir yang sedang singgah sebentar di dunia yang fana ini, setelah itu kau akan meninggalkan nya buat selama lamanya, pastikan kau membawa bekalan yang mencukupi yang berupa amal-amal sholehah untuk destinasi yang kekal lagi abadi.

Renungi lah dan bermuhasabah lah diri mu sebelum engkau tidur melelapkan mata, akan segala perbuatan dan amalan mu yang telah engkau lakukan pada hari itu, timbangilah segala perbuatan mu itu dengan neraca timbangan iman dan taqwa, dan hitungilah ia dengan penuh keikhlasan, apakah perbuatan amal sholehah yang lebih berat dalam timbangan mu atau sebaliknya, semoga perbuatan ini dapat mengetuk pintu hati mu agar engkau dapat terus berazam untuk melakukan yang terbaik untuk hari esok mu.

Sayangilah Allah swt dan Rasul mu melebihi apa yang ada di alam ini, dan sayangilah kedua orang tua dan keluargamu melebihi dari kasih sayang mu kepada insan-insan yang lain, ingatlah kasih sayang mu kepada Allah swt dan RasulNya akan membawa kamu ke syurga, kasih sayang mu kepada orang tua dan keluarga akan memberikan ketenangan jiwa dan kebahgian untuk mereka, dan kasih sayang kamu kepada insan dan mahkluk yang lain hanya bersifat sementara jika mereka tiada apa-apa ikatan dengan mu, dari itu janganlah engkau mudah terlena dengan permainan dunia dan godaan nafsu.

Yakinlah pada diri mu dalam mengejar cita-cita murni dan jangan kamu berputus asa, ingatlah impian mu tidak akan datang bergolek ke riba, tetapi ia memerlukan usaha dan pengorbanan, berkorbanlah dengan jiwa dan raga mu dan ikhlaskan lah usaha mu ini semata-mata mencari keredaan Allah swt, Allah Maha Mengetahui segala pengorbanan hamba-hambaNya dan pasti membalas segala pergorbanan mu itu dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.

Ambillah pengajaran dari pengalaman hidup mu, jadikanlah ia sebagai pendoman hidup yang dapat mendidik diri mu mengenal erti hidup yang sebenar, hayatilah ilmu dan pengalaman mu itu dengan saksama, dan ketahuilah manusia itu tidak akan sampai kepada maqam kearifan/bijaksana tanpa mengambil iktibar dari pengalaman hidupnya.

Ingatlah segala sesuatu yang kamu miliki akan sirna dan hilang, baik yang kamu sukai atau yang tidak kamu sukai, baik yang kamu senangi atau yang kamu benci, tetapi yang senantiasa bersama mu adalah hati kecil mu, pelihara lah hati mu ini dengan dengan nilai-nilai yang murni, hiasilah ia dengan sifat-sifat mahmudah (iaitu sifat-sifat yang terpuji) seperti sifat taqwa dalam melaksanakan perintah Allah, sifat ikhlas, tawaduk/rendah diri, penyayang, sopan santun, menghargai dan saling hormati menghormati diantara manusia, dan hindarkanlah hati mu dari sifat-sifat mazmumah (iaitu sifat-sifat yang tercela) seperti sifat-sifat yang dapat merosakkan hati, akhlak dan budi pekertimu, dan juga amal kebajikan mu, pastikan kau menghindarkan diri dari sifat riak, takabbur, sombong, iri-hati, hasad dengki dan segala sifat-sifat kezaliman, peliharalah hati kecil mu ini nescaya Allah swt akan memelihara diri mu.

Elakkan diri mu dari perkara perkara yang melalaikan kamu dari mengingati Allah swt, berusaha lah bersungguh-sungguh dimana saja kamu berada untuk mengingati dan melaksanakan tanggong jawab mu kepada Nya, jika kita berusaha menjaga amanah kita kepada Allah swt nescaya Allah swt pasti akan meredai hidup kita, dan jika kita sanggup berkorban untuk Allah swt sudah pasti Allah swt akan senantiasa melindungi diri kita, dari itu tinggalkan lah perkara-perkara yang melalaikan kamu jika kamu mendengar seruanNya.

Qana’ah adalah sifat yang terpuji, iaitu sikap rela menerima dan merasa cukup dengan apa yang dia miliki serta berusaha menjauhkan dirinya dari perasaan tidak puas atau tidak mencukupi. Dunia ini akan senantiasa mengejar kamu dan akan berusaha melalaikan dirimu, berusahalah menanamkan sifat qana’ah di dalam hidupmu agar kau tidak tertipu dengan permainan dunia. Mohonlah doa kepadaNya agar kau senantiasa berada dalam kebenaran dengan sering membaca doa ini, yang bermaksud: “Ya Allah, tampakkanlah yang haq sebagai al haq bagi kami, dan jadikanlah kami orang yang mengikutinya, dan tampakkan pula yang batil itu sebagai kebatilan bagi kami, dan jadikanlah kami orang yang menjauhinya...amin yaa rabbal aalamiin” semoga kamu senantiasa di dalam InayahNya.

Ambillah nasihat dan terima lah teguran dengan hati yang ikhlas dan terbuka, lebih-lebih lagi jika nasihat dan teguran itu datang dari mereka-mereka yang menyayangi mu, inilah salah satu cara Allah swt membuka pintu hati hamba-hambaNya yang dikasihi, jika Allah swt sayang kepada kamu, Allah swt akan membuka pintu hati mu untuk menerima nasihat dan teguran tersebut, jika hati mu terbuka nescaya kau akan dapat mengetahui dan mengenal diri mu yang sebenar dan dapat menundukkan sifat-sifat amarah mu, maka didiklah hati mu dengan banyak membaca Al Quran dan mendalaminya sehingga ia menjadi lembut untuk menerima pertunjuk, taufik dan hidayahNya, kerana jika baik  hati mu maka akan baik lah seluruh anggota tubuh mu, dan jika ianya rosak maka akan rosak lah seluruh anggota mu itu.

Hadapilah hidup ini dengan sabar dan tabah, tempuhilah segala cabaran, dugaan dan ujian hidup ini dengan meningkatkan keyakinan diri mu bahwa Allah swt senantiasa bersama mu, melihat mu, memerhatikan diri mu dan menyayangi mu, kerana Allah swt telah berjanji bahwa : “ Sesungguhnya Allah swt akan senantiasa bersama orang-orang yang sabar” jangan kau mudah berputus asa dalam berusaha, jika engkau terjatuh maka bangun dan bangkitlah dengan segara, dan kuatkan azam dan tekad mu semula, sesuatu yang baik dari Allah swt itu pasti ada ujiannya, kerana lebih mendalam cinta Allah swt kepada hamba-hambaNya, maka akan lebih banyak pula ujian dan cubaan yang perlu ditempuhinya, semoga kau terus maju jaya untuk dunia dan akherat mu, amin.

Dengan kehadiran 5th Januari mendatang, maka akan genaplah usia mu mencapai tahun yang ke 21, dengan ini sedarlah bahwa Iqah sekarang mempunyai amanah dan tanggong jawab yang berat, baik untuk diri sendiri dan begitu juga keatas keluarga, laksanakan segala amanah mu dengan penuh dedikasi, dan ingatlah kemuliaan seorang wanita itu terletak pada maruah dan harga dirinya, dan seorang pemuda juga akan menilai seseorang wanita itu pada maruah dan harga dirinya, jika kita ingin agar dimuliakan oleh setiap insan, maka peliharai lah maruah dan harga diri mu.

Duhai Anak-anak Ku


Duhai Anak-anak Ku

Abi inginkan kamu semua hidup bahgia dan sejahtera, hidup yang mempunyai tujuan dan matlamat yang murni, hidup yang penuh dengan keberkatan dan keredaan Allah swt baik di dunia mahupun di akherat, hidup yang penuh dengan kesyukuran, hidup yang bererti dan dapat memberikan ketenteraman hati, hidup yang memberikan kedamaian dan ketenteraman kepada manusia disekelilingmu, hidup yang memberikan manfaat kepada setiap mahkluk yang bernyawa, hidup menjadi seorang hamba yang berbakti kepada orang tuanya dan mengabdi kepada Allah swt, hidup sebagai seorang insan yang tahu tujuan dan matlamat hidup yang sebenar.

Abi ingin berpesan kepada anak-anak semua, dan ambillah pesanan Abi ini sebagai bekalan hidup mu semasa kamu melayari hidup mu dialam yang fana ini. Perjalanan kamu semua masih jauh dan berliku-liku, kamu mesti terus berhati-hati merendah ranjau dan duri menuju destinasi, ingatlah setiap langkah mu itu akan menentukan kedudukan diri mu, apakah kamu bertambah dekat denganNya atau sebaliknya.
Pastikan kamu tahu arah dan tujuan mu, jika tidak kamu akan tersesat atau disesatkan, ingatlah jalan yang berliku-liku ini amat berbahaya, jika kamu tersalah langkah kamu akan terjerumus kedalam nya, sehingga kamu hanyut dan lalai dengan permainan dunia. Banyak anak-anak Adam telah terperangkap dengan tipu daya nafsu dan syaithan, mereka menjadi lalai dengan kenikmatan yang sementara, sehingga mereka lupa tujuan dan matlamat hidup mereka yang sebenar, mereka hanya mengejar kebahgiaan yang bersifat fatamogana, berhati-hati lah dan peliharalah maruah mu.

Kepada Anak Abi Yang Tertua, (M.U.H.A.M.M.E.D A.S.H S.H.I.D.D.I.Q.U.E) ingatlah pesanan ini:

Mohonlah kepada Allah swt selalu, agar kamu diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menuntut ilmu, Insyallah , Allah swt akan membalas ganjaran yang setimpal diatas pengorbanan mu ini.

Ucapkan lah doa sepanjang masa, agar ilmu yang kamu pelajaran ini penuh keberkahan dan bermanfaat buat diri mu dan segenap insan yang bermuamalat dengan mu.

Harungilah hidup ini dengan tabah dan sabar melawan hawa nafsu mu, didiklah nafsu mu itu agar tunduk dengan keberkahan ilmu yang engkau pelajari.

Amalkanlah ilmu pengetahuan yang telah engkau pelajari, kerana ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah.

Mohonlah doa kepada Allah swt dalam setiap solat mu, agar kau menjadi anak yang sholeh, yang dapat berbakti kepada kedua orang tua mu dengan penuh keikhlasan, mengabdikan diri kepada Allah swt dengan penuh ketaqwaan dan menjadi hamba Allah yang mengajak manusia ke jalan yang diredai Allah swt.

Muliakanlah mereka-mereka yang telah engkau berguru dengannya, khususnya para alim ulama’ yang telah menaburkan bakti dan ilmunya kepada mu, dan mereka-mereka yang lebih tua dari diri mu, hormatilah mereka dengan penuh kasih sayang.

Elakkan diri mu dari tutur kata dan perbuatan yang tercela, dan jangan engkau ikutkan kehendak hawa nafsu dan tipu daya dunia, imbangilah kehidupan dunia dan akherat mu dengan neraca iman dan taqwa.

Damaikan lah jiwa dan hati mu dengan menperbanyakkan tilawah, berzikir, bermuhasabah dan melaksanakan amal ibadat demi mencari redaNya.

Amalkan segala ilmu pengetahuan yang telah kau pelajari sehingga ianya menghiasi segenap ruang hati mu, dan tergambar pada setiap tutur kata dan ahklak mu, ingatlah tidaklah Nabi saw diutuskan kecuali untuk meyempurnakan Ahklak manusia.

Sering-seringlah menziarahi guru-guru mu dan mereka-mereka yang telah banyak berjasa dengan mu, agar mereka dapat memberikan mu nasihat yang berguna untuk dunia dan akherat mu.

Hargailah segala pengorbanan dan jasa bakti mereka-mereka yang telah mendidik dan membesarkan dirimu sehingga menjadi insan yang mulia, sayangi lah mereka, muliakan lah mereka dan hormatilah mereka dengan segenap jiwa dan raga mu.

Sinarilah hidup mu dengan sinaran Al Quran dan hiasilah hidupmu dengan sunnah Nabi saw, berpegang teguhlah dengan kedua-duanya dengan jiwa dan raga mu.

Hayatilah setiap langkah mu itu, agar ia  dapat memberikan manfaat dan syiar keislaman untuk semua, pastikan jalan yang kamu tempuh itu merupakan jalan yang paling selamat di antara berbagai jalan-jalan yang ada, perhatikan dengan teliti segala ranjau dan duri agar ia tidak menjadi penghalang laluan mu itu.

Ingatlah jalan lurus yang sedang engkau tempuhi ini banyak ranjau dan duri nya, bersabarlah dengan kesabaran dan ketabahan yang murni, pupuklah hati mu dengan rangsangan yang menghiburkan, bahwa engkau sedang meniti titian Nubuwah.

Didiklah hati m u agar tunduk dan patuh dengan ajaran Nabi mu, jangan lah kau biarkan hati mu lalai dengan tipu daya dunia atau dikuasai oleh nafsu yang durjana.

Dunia akan senantiasa mengejar mu walaupun kau akan cuba melarikan diri darinya, maka jadikan dunia ini sebagai jambatan untuk akherat mu, manfaatkan pemberian dunia ini untuk kamu menabur bakti untuk akherat mu.

Ingatlah akan kematian, kerana dengan ini kamu akan senantiasa berusaha melakukan kebaikan untuk bekalan mu diakherat, dan agar kau sedar dunia ini hanya untuk sementara saja dan akheratlah yang lebih kekal dan abadi.

Quwwah dan amanah adalah dua teras yang terpenting sebagai seorang pemimpin, maka hayatilah kedua-dua sifat ini di dalam setiap sudut kehidupan mu, peliharai lah keduanya nescaya Allah swt akan memeliharai hidup mu.

Utamakan lah aulawiyah dalam beramal dan beribadat, berilah keutamaan kepada perkara-perkara yang perlu diberikan keutamaan, nescaya hidup mu akan lebih terarah dan sempurna.

Elokkan lah tutur kata dan tilawah mu dalam mengumandangkan Wahyu Allah, semoga dengan alhlak tutur kata yang baik dan bacaan mu yang indah dapat membuka pintu hati mereka-mereka yang mencari redaNya, amin. 

Nasihat di atas ini Abi tujukan pada Muhammed Ash Shiddique, kerana Abi sedar amanah dan tanggong jawab yang berat yang perlu dipikul terhadap keluarga dan adik-adik perempuan kamu. Semoga Allah swt senantiasa memberikan kamu kekuatan iman dan taqwa, pertunjuk, taufik dan hidayah dalam memikul dan melaksanakan amanah ini....besambung.