Wednesday, August 19, 2015

Panduan Ibu Bapa


Panduan Ibu Bapa






Panduan Ibu Bapa: Dalam Membantu Anak-anak Dalam Proses Penceraian (2)




Apabila Sebuah Rumah Tangga Berakhir, Ia Sebenarnya Adalah Titik Permulaan Penceraian




Rumah tangga yang didirikan adalah suatu ibadah yang berterusan bagi setiap pasangan yang bernikah, ibadah yang hanya boleh dilakukan oleh dua orang insan yang bergelar suami dan isteri, ia akan tetap menjadi sebuah ibadah jika kedua belah pihak tahu dan memahami akan hak dan tanggong jawab yang perlu dipenuhi, akan tetapi jika kedua-duanya atau salah satu daripada mereka tidak dapat melaksanakan ibadah mereka dengan sempurna, maka akan bermulalah titik permulaan perpisahan mereka berdua, dan bagaimana sebenarnya sesuatu ibadat itu boleh berakhir, perkara ini banyak bertanggung kepada kedua pasangan tersebut dalam mereka menjaga dan memelihara ibadah (rumah tangga) mereka.

Setiap pasangan mempunyai keunikan tersendiri dalam melayari bahtera rumah tangga, mereka sudah pasti mempunyai hasrat dan keinginan, harapan dan impian dalam membentuk dan mengharungi mahligai yang bahgia, mereka juga mempunyai pengertian yang tersendiri dalam menilai sesuatu kebahgiaan, sudah pasti tidak akan ada dua rumah tangga yang mempunyai hasrat dan cara kehidupan yang sama, walaupun kadang kala ada kesamaan diantara pasangan dalam membina sesebuah rumah tangga, tetapi mereka pasti mempunyai cara yang tersendiri bagaimana mereka ingin melayari kehidupan rumah tangga mereka.

Begitu juga bagi pasangan yang ingin mengakhiri bahtera rumah tangga mereka, mereka juga mempunyai sebab dan alasan tersendiri, mengapa mereka perlu membuat keputusan untuk berpisah dan mengakhiri rumah tangga yang telah mereka bina selama ini, terdapat berbagai alasan, sebab musabab mengapa mereka ingin mengakhiri kehidupan berumah tangga.

Sebagai contoh ada pasangan yang bernikah dengan tujuan untuk berpisah, pelik tapi benar, pasangan seumpama ini sebenarnya tiada niat untuk bernikah, mereka sedar usia mereka terlalu muda, mereka belum bersedia dan mereka belum membuat sebarang persiapan untuk mendirikan rumah tangga, mereka tidak mempunyai pekerjaan dan belum matang untuk menjadi seorang ibu atau bapa. Mereka terpaksa bernikah sebab pasangan perempuannya sudah berbadan dua, keluarga memaksa mereka bernikah kerana ingin menutup malu, dan setelah anak dilahirkan, mereka pun bercerai.

Atau pasangan yang telah bernikah untuk beberapa tahun dan mempunyai anak, tetapi setelah itu merasakan mereka tidak serasi dan banyak perbezaan antara mereka berdua, tidak mahu berusaha memperbaiki perbezaan-perbezaan yang ada, lalu membuat keputusan untuk berpisah dan mengikuti haluan masing-masing. Atau pasangan yang bernikah hanya berdasarkan cinta dan kasih sayang saja, tetapi tidak mengerti dan memahami akan hak dan tanggung jawab yang perlu mereka laksanakan, mereka berusaha mempertahankan rumah tangga mereka berdasarkan cinta dan kasih sayang semata-mata, tetapi setelah beberapa tahun berlalu mereka dapati agak sulit untuk meneruskan rumah tangga yang dibina, disebabkan kekurangan sara hidup, nafkah yang tidak pernah mencukupi dan tekanan kehidupan yang berpanjangan, akhirnya cinta dan kasih sayang mereka menjadi pudar dan tidak dapat bertahan lama. Atau rumah tangga yang dibina dengan penuh penganiayaan, pasangannya senantiasa tertekan, diancam baik dengan perkataan yang kesat atau sering didera dengan pukulan-pukulan yang mencederakan, sehingga pasangan yang sering dizalimi itu membuat keputusan untuk berpisah, dan berbagai lagi sebab musabab mengapa sesebuah rumah tangga itu boleh berakhir.

Pada hakikatnya pasangan biasanya melalui proses perpisahan sebelum mereka melalui proses penceraian. Yang dimaksudkan disini adalah sebelum berlakunya penceraian, biasanya pasangan akan melalui proses perpisahan, iaitu proses hubungan yang semakin hambar, tiada lagi kemesraan, hilang sudah kasih sayang dan tiada lagi persefahaman diantara keduanya, sehingga mereka mengambil haluan masing-masing untuk bercerai. Ada yang melalui proses ini dalam waktu yang singkat ada pula perlu mengharungi proses ini bertahun-tahun lamanya sebelum mereka mengambil keputusan untuk bercerai.

Disinilah pri pentingnya pasangan memahami dan menyedari setiap proses atau peringkat-peringkat yang mengakibatkan perpisahan. Jika ini dapat difahami oleh kedua pasangan tersebut, maka sudah pasti mereka akan berusaha menjauhkan diri dari perangkap-perangkap yang merbahaya ini, mereka tidak mahu terjerumus di dalam lembah ini dan akan berusaha bersungguh-sungguh mengelak dan menghindarkan diri mereka dari terperangkap di dalam proses-proses yang tidak diingini ini.

No comments: