Wednesday, July 22, 2015

Panduan Ibu Bapa (Membantu Anak-anak Dalam Proses Penceraian) -1


Panduan Ibu Bapa

Membantu Anak-anak Dalam Proses Penceraian

(disusun oleh: Abdul Jalil Abdul Razak. B.A Al Azhar, M.A Monash Universiti)

 

Pengenalan

Setiap anak yang lahir di dunia ini adalah pewaris bagi kedua orang tuanya, anak bukan hanya mewarisi harta pusaka, tetapi juga berhak menikmati dan mendapatkan segala kasih sayang, kebahgian, perhatian, bimbingan, dan perlindungan yang terbaik dari kedua orang tua mereka, begitu juga sebaliknya, anak-anak boleh menjadi mangsa akibat dari tindak tanduk orang tua mereka, ini boleh berlaku akibat dari keputusan dan pilihan yang dibuat oleh kedua mereka, inilah dua gabungan (pewaris dan mangsa) yang senantiasa dialami anak-anak dari kedua orang tua mereka, gabungan diantara: kekuatan atau kelemahan, kebahagian atau penderitaan, kepandaian atau kebodohan, bertimbang rasa atau mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Natijahnya pembentukan anak-anak banyak bergantung dan bersebab dari tindakan dan cara keputusan yang dibuat oleh kedua orang tua mereka.

Dalam perkara yang bersangkut paut dengan penceraian, anak-anak akan lebih menjadi pemangsa daripada pewaris. Ini dikeranakan anak-anak terpaksa memilih perjalanan hidup yang tidak menentu, yang berliku-liku sehingga mengubah corak kehidupan dan masadepan mereka buat selama-lamanya, anak-anak ini juga terpaksa mencari berbagai jawapan yang menghantui benak pemikiran mereka, semua ini hasil dari keputusan yang dibuat oleh orang tua mereka untuk berpisah, dalam benak mereka akan tertanya-tanya:

·        Bagaimana orang tua yang sudah berikrar untuk mendirikan rumah tangga memilih jalan untuk meruntuhkan rumah tangga yang telah dibina?.

·        Jika sesuatu ikrar atau janji mendirikan rumah tangga boleh diruntuhkan, apakah akan ada lagi ikrar atau janji yang dapat dipercayai?

·        Jika orang tua dapat menghilangkan perasaan cinta dan kasih sayang diantara mereka berdua, apakah mereka juga dapat menghilangkan perasaan cinta dan kasih sayang terhadap anak-anak mereka?

·        Jika salah seorang dari mereka dapat meninggalkan keluarga, apakah yang satu lagi juga turut begitu?

·        Jika kasih sayang itu tidak bersifat selama-lamanya, berapa lamakah ukuran kasih sayang?

Penceraian pastinya mengakibatkan satu perubahan besar dalam hidup seseorang, ia juga boleh menghancurkan segala kepercayaan dasar seorang anak berhubung dua perjanjian penting yang telah dimenterai oleh kedua ibu bapa mereka yang diyakini oleh anak tersebut, iaitu :

(1) Kedua orang tua akan senantiasa bersama membina rumah tangga mereka.

(2).Mereka akan tetap bersama demi menjaga rumah tangga yang telah mereka bina.

Bagi diri anak-anak, penceraian itu sudah pastinya mengakibatkan banyak kehilangan dalam hidup mereka, kehilangan kasih sayang dari kedua orang tua, keyakinan diri dalam mengharungi hidup, dan kepercayaan terhadap orang tua mereka yang mementingkan diri sendiri dari tanggong jawab mereka terhadap keluarga dan anak-anak.

 

Walaupun pasangan merasakan keputusan untuk berpisah adalah keputusan pribadi, iaitu diantara mereka berdua saja tanpa melibatkan anak-anak, tetapi pada hakikatnya anak-anak juga akan turut terpisah. Begitu juga perpisahan mungkin dirasakan perlu dan yang terbaik bagi kedua pasangan, tetapi tidak untuk anak-anak, keputusan yang dibuat akan mengakibatkan anak-anak merasa lebih tertekan, terluka, hampa, kecewa, diabaikan, dikhianati atau disingkirkan. Mungkin bagi pasangan yang berpisah mereka akan merasakan masadepan yang lebih cerah dengan kehidupan yang baru, tetapi tidak bagi diri anak-anak, mereka hanya akan merasakan perjanjian yang musnah, keluarga yang terpisah, masadepan yang tidak menentu dan tekanan emosi yang mendalam.

Bagi mereka yang beranggapan perceraian itu adalah satu perkara yang lumrah kerana ia sudah menjadi kebiasaan dikalangan masyarakat, maka tanggapan seumpama itu adalah salah dan tidak bertanggong jawab, walaupun terdapat banyak pasangan yang mendirikan rumah tangga dan mengakhirinya dengan perpisahan, ini tidak bermakna penceraian itu adalah satu perkara yang boleh diambil ringgan, ini dikeranakan keputusan untuk berpisah adalah keputusan individu dan dibuat atas dasar kepentingan individu atau pasangan, melebihi kepentingan dan kebahgiaan hidup anak-anak mereka.

Ini tidak bermakna pasangan yang berpisah mempunyai niat untuk melukai jiwa atau perasaan anak-anak mereka, tetapi hakikatnya pasangan tidak akan dapat berpisah tanpa melukai jiwa dan perasaan anak-anak tersebut. Ini juga tidak bererti pasangan tidak boleh berpisah disebabkan oleh rumah tangga mereka yang bermasalah, dan seterusnya mencari kebahgian dengan pasangan baru, mereka berhak mendapatkan kebahagian, tetapi itu tidak bererti anak-anak perlu menanggong penderitaan demi kebahgian orang tua mereka, begitu juga pasangan yang tidak bahagia dalam rumah tangga tetapi tetap kekal bersama, tidak semestinya boleh menanamkan sifat tidak bahagia mereka di dalam kehidupan anak-anak mereka.

Penceraian juga boleh diibaratkan sebagai suatu proses pembedahan terhadap anggota tuboh badan dalam sesebuah rumah tangga, kerana proses ini akan mengasingkan setiap anggota-anggota tersebut sehingga mereka semua menjadi anggota-anggota yang terpisah. Anak-anak sudah pasti akan merasakan perpisahan yang berkekalan, ini kerana mereka tidak akan lagi dapat merasakan suasana untuk tinggal bersama kedua orang tua mereka dibawah satu bumbung. Hati kecil mereka akan berkata : “Jika aku bersama ibu, aku akan merindui ayah, aku tidak akan dapat memiliki kedua-duanya lagi”, dan bagi kedua pasangan pula, mereka sudah pasti akan merasa kesunyian, menjadi ibu/bapa tunggal bermakna mereka tidak lagi memiliki pasangan yang dapat berkongsi-sama dalam hal membesarkan anak-anak, saling memahami perasaan dan kebuntuhan, pekerjaan dan tanggung jawab, di dalam hati kecil mereka juga pasti akan berkata : “Sekarang aku sudah bersendiri, aku perlu terus berdikari”.

Buku panduan kecil ini bertujuan untuk membantu pasangan dalam menghadapi tekanan emosi dan cara mengimbangi tuntutan-tuntutan sebagai ibu/bapa tunggal dan seterusnya membantu anak-anak dalam mengharungi detik-detik perpisahan.

·        Memberikan contoh dan gambaran berhubung tekanan emosi yang akan dilalui oleh setiap pasangan dan cara membantu dan mengimbangi kehendak dan kebuntuhan anak-anak apabila orang tua mereka berpisah.

·        Memberikan panduan umum berhubung peranan dan tanggung jawab sebagai salah seorang ibu/bapa tunggal.

·        Memberikan juga panduan proses peralihan yang akan dilalui oleh anak-anak dalam mengharungi suasana hidup bersama ibu/bapa tunggal kepada peralihan suasana ibu/bapa yang baru.

 

Walaupun anak-anak akan melalui suasana yang traumatik apabila orang tua mereka berpisah, ini tidak bermakna masadepan dan kehidupan seorang anak itu akan sama sekali musnah, setiap perpisahan itu sudah pasti meninggalkan kesan luka yang mendalam bagi diri anak-anak, tetapi setiap luka pasti akan sembuh dan tidak akan berkekalan. Pengalaman ini sudah pasti menjadi satu kesan sejarah dalam diri anak-anak, tetapi ia juga bukan satu-satunya kesan sejarah dalam hidup mereka.

Ada banyak lagi peristiwa atau kesan-kesan yang lebih dahsyat yang dilalui oleh sebagian anak-anak dalam kehidupan mereka, umpamanya keganasan, pengabaian yang berterusan, kejadian atau peristiwa yang mengerikan, kematian orang tua dan sebagainya, ini semua dapat mengakibatkan kesan-kesan negatif yang lebih mendalam pada diri anak-anak. Hakikatnya setiap anak-anak itu mempunyai daya ketahanan yang kuat dalam menghadapi dan mengharungi suasana perpisahan, dan akan dapat meneruskan kehidupan mereka seperti anak-anak yang lain.

Maka sudah menjadi tanggung jawab pasangan yang berpisah untuk berusaha memastikan anak-anak mereka dapat diberikan bimbingan dan bantuan yang terbaik dalam mengharungi perpisahan tersebut, apajua keputusan yang mereka buat perlulah mengambil kira “paramount interest” atau kepentingan utama bagi kebajikan dan masadepan anak-anak tersebut, kedua-dua pihak perlu memberi tumpuan berhubung keutamaan anak-anak mereka dari kepentingan diri mereka sendiri, jika ini dapat dilakukan maka pada dasarnya mereka telah melakukan keadilan terhadap diri anak-anak itu, tetapi jika berlaku sebaliknya, maka sesungguhnya mereka telah mengkhianati amanah mereka sebagai orang tua.

No comments: