Tuesday, July 14, 2015

Saudara dan Sahabat ku,,,,


من رد عن عرض أخيه رد الله عن وجهه النار يوم القيامة

Dari Abi Darda r.a dari Nabi saw, bahwa beliau telah bersabda , yang bermaksud : “Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya, di hari akherat nanti Allah akan memelihara wajahnya dari (siksaan) api neraka” Riwayat Tirmizi –Hadis hassan

Perkataan saudara, sahabat, kawan, taulan, teman, rekan dan sebagainya mempunyai pengertian yang tersendiri dalam hidup seseorang. Gelaran seumpama ini sering diberikan kepada mereka yang dikenali, atau diberikan kepada siapa saja yang disukai, atau kita memberikan gelaran ini kepada mereka yang kita kenal atau yang kita sukai, tanpa kita memerhatikan implikasi berhubung amanah dan tanggong jawab, yang perlu kita laksanakan kepada mereka yang kita gelar sebagai saudara atau sahabat.  

Hadis diatas ini mempunyai pengertian yang mendalam kepada seseorang yang digelar  saudara atau sahabat. Gelaran ini tidak semudah yang diucapkan, kerana ia memiliki amanah dan tanggong jawab yang berat yang perlu dipikul bersama. Begitu penting sekali kedudukkan gelaran (saudara) ini, sehingga Rasulullah saw memberikan pertunjuk dan nasihatnya melalui hadis ini, iaitu apabila seseorang itu dapat memelihara kehormatan dan maruah saudaranya daripada dicemuh, difitnah dan dikeji, dengan bangkit dan menpertahankan kehormatan saudaranya melalui ucapan/tulisan atau kekuasaan yang dimilikinya, sehingga saudaranya terlindung dari cemuhan, kata fitnah dan keji, maka diakherat nanti wajahnya akan diperlihara oleh Allah swt dari api neraka.

Jika direnungkan hadis ini dengan saksama, pasti kita akan sedari bertapa beratnya  gelaran Saudara dan Sahabat yang perlu dipikul oleh seseorang itu, dan alangkah besarnya ganjaran yang Allah swt kurniakan kepada seseorang yang telah melaksanakan hak dan amanah saudara dan sahabatnya itu. Mempertahankan kehormatan saudara atau sahabat yang sedang dicemuh, difitnah atau dikeji bukan lah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi jika seseorang itu terpaksa bangun dan bangkit dihadapan orang yang sedang mencemuh dan menfitnah saudaranya itu dan mencegahnya dari mengucapkan perkataan tersebut.

Inilah kekuatan dan perpanduan yang ingin dibina dikalangan umat Islam, ikatan persaudaraan yang merangkumi sifat kasih sayang, saling bantu membantu, tolong menolong, hormat menghormati dan tidak menzalimi atau menganiayai saudaranya yang lain, perpaduan yang berasaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt, yang mencerminkan kemurnian dan kesucian agama Islam, agama yang tidak membezakan bangsa dan warna kulit, manusia semua sama saja dalam pandangan Allah swt kecuali mereka yang benar-benar bertaqwa, firmanNya di surah Hujurat ayat 13:

إن أكرمكم عند الله أتقاكم

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu”

Oleh itu jika seseorang itu ingin memberikan gelaran ini (saudara) kepada seseorang, maka beliau perlu sedar akan amanah dan tanggong jawab yang perlu dipikulnya. Sesuatu gelaran itu sudah pasti mempunyai nilai dan kedudukan yang tersendiri, begitu juga dengan gelaran “Saudara” atau “Sahabat” ia juga mempunyai nilai dan ukuran yang tersendiri yang perlu dihargai dan dihormati, gelaran ini juga begitu tinggi nilainya di dalam ajaran Islam, sehingga Islam menjadikan ia sebagai salah satu ukuran dalam menentukan nilai dan ukuran keimanan seseorang, sepertimana sabda Nabi saw dalam sebuah hadisnya yang masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a yang berbunyi :

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

“Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”  Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Hadis ini juga jelas menunjukkan kepada kita sekalian, akan pri pentingnya kita mengasihi dan mencintai saudara dan sahabat kita sepertimana kita mencintai diri kita sendiri, sebab itu tidak lah layak jika kita memberikan gelaran seumpama ini kepada seseorang yang kita kenal, tetapi tidak kita laksanakan amanah dan tanggong jawab kita kepadanya, kerana gelaran ini juga mempunyai ukuran keimanan seseorang, sejauhmana keimanan kita kepada Allah swt dapat diukur dengan sejauhmana pula kita menunjukkan sifat cinta dan kasih sayang kita kepada saudara dan sahabat kita tersebut. Ia juga mengambil pengertian akan hak saudara kita tersebut, iaitu sejauhmana kita ambil peduli kesenangan dan kesusahan yang mereka alami, dan apakah langkah dan peranan kita dalam menunjukkan keperdulian kita kepada mereka.

Sebagai orang yang beriman, yang menyakini bahwa Tiada Tuhan yang disembah kecuali Allah, Tuhan Yang Agong, Dia Yang Tunggal Yang Satu, tempat kita menyembah dan meminta, kita menyaksikan Tiada Tuhan kecuali Allah dan Nabi Muhammad saw itu adalah pesuruhNya, maka sebagai hambaNya, kita pasti sedar bahwa kita tidak mempunyai pilihan lain untuk menentukan siapakan saudara dan sahabat yang boleh kita jadikan pilihan, kerana Allah swt telah menegaskan dalam firmanNya di surah Al Hujurat ayat 10 yang berbunyi:

إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقوا الله لعلكم ترحمون

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”

Firman Allah swt ini memberikan penjelasan kepada hamba-hambaNya yang beriman, bahwasanya apa juga latar belakang seseorang itu, apa juga perbezaan yang terdapat diantara mereka, bangsa , bahasa dan negara, berlainan warna kulit atau kedudukan, segala perbezaan ini tidak boleh menjadi sebab untuk mereka bermusuhan, selagi mereka semua beriman kepada Allah swt dan RasulNya, dan menjadikan kitabullah dan sunnatul Rasul sebagai pedoman hidup mereka, maka mereka dilarang bermusuh-musuhan apalagi saling berbunuh-bunuhan diantara satu dengan lainnya.

Sudah menjadi sunatullah manusia pasti mempunyai persamaan dan perbezaan dalam sesuatu pendapat dan pandangannya, tetapi itu tidak semestinya membuat mereka sampai saling bermusuh-musuhan, saling benci menbenci, saling khianat mengkhianati, dan dengan sewenang-wenangnya melakukan pencemuhan, penghinaan, penganiayaan keatas mereka yang berbeza pendapat dengannya,  sehingga sanggup menumpahkan darah dan saling berbunuh bunuhan, lebih-lebih lagi jika keduanya masa mempunyai kepercayaan dan iktiqad yang satu dan melafazkan kalimah : “Tiada Tuhan Yang sembah kecuali Allah dan Muhammad itu adalah pesuruhNya”.

Allah swt telah memberikan peringatan dari firmanNya ini, iaitu selagi kamu semua beriman kepadaNya, kamu semua adalah bersaudara, kamu mempunyai amanah dan tanggong jawab diantara satu sama lain, kamu semua bertanggong jawab melaksanakan hak-hak saudara mu itu, maka apa juga perbezaan yang terdapat diantara kamu, jangan sampai perbezaan tersebut menimbulkan permusuhan dan kebencian, jika wujud titik-titik permusuhan dan kebencian diantara kamu, maka hendaklah kamu berusaha untuk mencari jalan perdamaian demi membina perpaduan dan ukhuwah dalam menanamkan sifat taqwallah, agar kamu sekalian dirahmati olehNya.

Memang pada hakikatnya bukan lah satu perkara yang mudah untuk mendamaikan dua golongan yang mempunyai pandangan dan pendapat yang jauh berbeza,  lebih-lebih lagi jika perbezaan itu merupakan fahaman yang telah diwarisi berkurun-kurun lamanya, sehingga ianya telah dibudayakan dan sebati dengan akal pikiran dan kehidupannya, maka sudah pasti apajua usaha untuk mencari jalan pendamaian akan menghadapi berbagai rintangan, tetapi jika mereka benar-benar beriman dan mempunyai jiwa dan hati yang ikhlas, demi mencari kebenaran dan keredaan Allah swt, Insyallah, Allah swt pasti akan membuka pintu hati mereka dengan pertunjuk taufik dan hidayahNya....Amin.

 

No comments: