Monday, November 30, 2015

Duhai Anak-anak Abi 2


Seterusnya Abi ingin memberikan kata-kata nasihat untuk anak Abi yang kedua, iaitu : N.U.R  S.Y.A.I.E.Q.A.H.

Nilai murni dan maruah diri mu adalah sesuatu yang paling berharga dalam hidup ini, peliharailah ia dengan jiwa dan raga mu, hiasilah nilai-nilai ini dengan akhlak dan tingkah laku yang murni, sifat sopan santun yang terpuji dan amal ibadat yang mendidik diri mu menjadi wanita yang sholehah, ingatlah tiada nilai yang lebih berharga yang dapat kita semai dan simpan kecuali maruah dan harga diri.

Umpamakanlah diri mu ini ibarat musafir yang sedang berehat sebentar dibawah pohon dari terik mentari, begitu jugalah dengan dirimu didunia ini, engkau ibarat musafir yang sedang singgah sebentar di dunia yang fana ini, setelah itu kau akan meninggalkan nya buat selama lamanya, pastikan kau membawa bekalan yang mencukupi yang berupa amal-amal sholehah untuk destinasi yang kekal lagi abadi.

Renungi lah dan bermuhasabah lah diri mu sebelum engkau tidur melelapkan mata, akan segala perbuatan dan amalan mu yang telah engkau lakukan pada hari itu, timbangilah segala perbuatan mu itu dengan neraca timbangan iman dan taqwa, dan hitungilah ia dengan penuh keikhlasan, apakah perbuatan amal sholehah yang lebih berat dalam timbangan mu atau sebaliknya, semoga perbuatan ini dapat mengetuk pintu hati mu agar engkau dapat terus berazam untuk melakukan yang terbaik untuk hari esok mu.

Sayangilah Allah swt dan Rasul mu melebihi apa yang ada di alam ini, dan sayangilah kedua orang tua dan keluargamu melebihi dari kasih sayang mu kepada insan-insan yang lain, ingatlah kasih sayang mu kepada Allah swt dan RasulNya akan membawa kamu ke syurga, kasih sayang mu kepada orang tua dan keluarga akan memberikan ketenangan jiwa dan kebahgian untuk mereka, dan kasih sayang kamu kepada insan dan mahkluk yang lain hanya bersifat sementara jika mereka tiada apa-apa ikatan dengan mu, dari itu janganlah engkau mudah terlena dengan permainan dunia dan godaan nafsu.

Yakinlah pada diri mu dalam mengejar cita-cita murni dan jangan kamu berputus asa, ingatlah impian mu tidak akan datang bergolek ke riba, tetapi ia memerlukan usaha dan pengorbanan, berkorbanlah dengan jiwa dan raga mu dan ikhlaskan lah usaha mu ini semata-mata mencari keredaan Allah swt, Allah Maha Mengetahui segala pengorbanan hamba-hambaNya dan pasti membalas segala pergorbanan mu itu dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.

Ambillah pengajaran dari pengalaman hidup mu, jadikanlah ia sebagai pendoman hidup yang dapat mendidik diri mu mengenal erti hidup yang sebenar, hayatilah ilmu dan pengalaman mu itu dengan saksama, dan ketahuilah manusia itu tidak akan sampai kepada maqam kearifan/bijaksana tanpa mengambil iktibar dari pengalaman hidupnya.

Ingatlah segala sesuatu yang kamu miliki akan sirna dan hilang, baik yang kamu sukai atau yang tidak kamu sukai, baik yang kamu senangi atau yang kamu benci, tetapi yang senantiasa bersama mu adalah hati kecil mu, pelihara lah hati mu ini dengan dengan nilai-nilai yang murni, hiasilah ia dengan sifat-sifat mahmudah (iaitu sifat-sifat yang terpuji) seperti sifat taqwa dalam melaksanakan perintah Allah, sifat ikhlas, tawaduk/rendah diri, penyayang, sopan santun, menghargai dan saling hormati menghormati diantara manusia, dan hindarkanlah hati mu dari sifat-sifat mazmumah (iaitu sifat-sifat yang tercela) seperti sifat-sifat yang dapat merosakkan hati, akhlak dan budi pekertimu, dan juga amal kebajikan mu, pastikan kau menghindarkan diri dari sifat riak, takabbur, sombong, iri-hati, hasad dengki dan segala sifat-sifat kezaliman, peliharalah hati kecil mu ini nescaya Allah swt akan memelihara diri mu.

Elakkan diri mu dari perkara perkara yang melalaikan kamu dari mengingati Allah swt, berusaha lah bersungguh-sungguh dimana saja kamu berada untuk mengingati dan melaksanakan tanggong jawab mu kepada Nya, jika kita berusaha menjaga amanah kita kepada Allah swt nescaya Allah swt pasti akan meredai hidup kita, dan jika kita sanggup berkorban untuk Allah swt sudah pasti Allah swt akan senantiasa melindungi diri kita, dari itu tinggalkan lah perkara-perkara yang melalaikan kamu jika kamu mendengar seruanNya.

Qana’ah adalah sifat yang terpuji, iaitu sikap rela menerima dan merasa cukup dengan apa yang dia miliki serta berusaha menjauhkan dirinya dari perasaan tidak puas atau tidak mencukupi. Dunia ini akan senantiasa mengejar kamu dan akan berusaha melalaikan dirimu, berusahalah menanamkan sifat qana’ah di dalam hidupmu agar kau tidak tertipu dengan permainan dunia. Mohonlah doa kepadaNya agar kau senantiasa berada dalam kebenaran dengan sering membaca doa ini, yang bermaksud: “Ya Allah, tampakkanlah yang haq sebagai al haq bagi kami, dan jadikanlah kami orang yang mengikutinya, dan tampakkan pula yang batil itu sebagai kebatilan bagi kami, dan jadikanlah kami orang yang menjauhinya...amin yaa rabbal aalamiin” semoga kamu senantiasa di dalam InayahNya.

Ambillah nasihat dan terima lah teguran dengan hati yang ikhlas dan terbuka, lebih-lebih lagi jika nasihat dan teguran itu datang dari mereka-mereka yang menyayangi mu, inilah salah satu cara Allah swt membuka pintu hati hamba-hambaNya yang dikasihi, jika Allah swt sayang kepada kamu, Allah swt akan membuka pintu hati mu untuk menerima nasihat dan teguran tersebut, jika hati mu terbuka nescaya kau akan dapat mengetahui dan mengenal diri mu yang sebenar dan dapat menundukkan sifat-sifat amarah mu, maka didiklah hati mu dengan banyak membaca Al Quran dan mendalaminya sehingga ia menjadi lembut untuk menerima pertunjuk, taufik dan hidayahNya, kerana jika baik  hati mu maka akan baik lah seluruh anggota tubuh mu, dan jika ianya rosak maka akan rosak lah seluruh anggota mu itu.

Hadapilah hidup ini dengan sabar dan tabah, tempuhilah segala cabaran, dugaan dan ujian hidup ini dengan meningkatkan keyakinan diri mu bahwa Allah swt senantiasa bersama mu, melihat mu, memerhatikan diri mu dan menyayangi mu, kerana Allah swt telah berjanji bahwa : “ Sesungguhnya Allah swt akan senantiasa bersama orang-orang yang sabar” jangan kau mudah berputus asa dalam berusaha, jika engkau terjatuh maka bangun dan bangkitlah dengan segara, dan kuatkan azam dan tekad mu semula, sesuatu yang baik dari Allah swt itu pasti ada ujiannya, kerana lebih mendalam cinta Allah swt kepada hamba-hambaNya, maka akan lebih banyak pula ujian dan cubaan yang perlu ditempuhinya, semoga kau terus maju jaya untuk dunia dan akherat mu, amin.

Dengan kehadiran 5th Januari mendatang, maka akan genaplah usia mu mencapai tahun yang ke 21, dengan ini sedarlah bahwa Iqah sekarang mempunyai amanah dan tanggong jawab yang berat, baik untuk diri sendiri dan begitu juga keatas keluarga, laksanakan segala amanah mu dengan penuh dedikasi, dan ingatlah kemuliaan seorang wanita itu terletak pada maruah dan harga dirinya, dan seorang pemuda juga akan menilai seseorang wanita itu pada maruah dan harga dirinya, jika kita ingin agar dimuliakan oleh setiap insan, maka peliharai lah maruah dan harga diri mu.

No comments: