Tuesday, December 27, 2016

Hari Akherat (3)


Faham Kaum Spritualist

Sudah menjadi kenyataan bahwa akal, fikiran cinta dan sebagainya adalah menjadi pendorong dari kemajuan jasmani, hasil yang jadi daripada fikiran terdapat dalam serba serbi segi kehidupan, manusia tidaklah sempurna insaniyahnya kalau bukan kerana fikirannya. Jelas sekali bahwa fikiran, atau akal atau nyawalah yang mengatur benda, bagaimana akan dikatakan fikiran yang lebih mulia itu sebagai hasil daripada benda yang tidak berkuasa atas dirinya? Adakah daripada “atom” yang kecil itu akan timbul syair shaffire?

Faham serba nyawa menginkari pendapat serba benda itu, bahkan menetapkan bahwa yang ada itu hanyalah nyawa semata-mata, dan benda adalah hasil daripada nyawa, bagaimana engkau dapat mengetahui dan mengatakan bahwa sesuatu itu ada? Apakah semata mata dengan mata mu? Bagaimana kelak pendapat orang lain yang tidak melihat? Apakah semata lantaran engkau dengar dengan telinga mu? Bagaimana orang yang tidak mendengar? Engkau lihat sesuatu barang, misalnya bulan purnama! Engkau melihat dan orang lain pun melihat, tetapi dia Nampak bulan itu, dan engkau tidak melihat, sebab fikiranmu sedang terhadap kepada yang lain.

Sebab itu maka yang sebenarnya ada ialah fikiran mu, ialah nyawa mu, sebagai sumber dari fikiran, ialah kesedaran mu sebagai nyawa!

Serba Dua

Tentu saja kedua aliran ini mendapat perdamaian pada faham serba dua, itulah yang terkenal dengan nama “Dualisme” benda dan nyawa, hidup dan mati, tinggi dan rendah, lahir dan batin, fasif dan aktif, positif dan negetif.

Adakah pintu keluar?

Dengan jalan begini saja sudahkah selesai soal? Yang kita bicarakan ini adalah falsafah. Selama dunia terkembang, selama fikiran masih ada, selama manusia masih bersifat “ingin tahu” segala soal ini akan tetap begitu keadaannya. Disamping filosof-filosof besar yang tidak mengakui adanya nyawa, apatah lagi adanya hidup dibelakang hidup yang sekarang ini, ada yang dari segi falsafah sangat percaya akan adanya hidup akherat itu, yang mayshur ialah socrate, beliau tidaklah takut akan mati dihukum, disuruh meminum racun, kepada muridnya Crito dan Plato, seketika dia akan mati meminum racun dia memesan bahwa dia sekali-kali tidak takut akan mati sebab dia percaya bahwa hidup yang akan ditempohnya lebih bahgia, lebih indah daripada hidup yang sekarang ini.

Muridnya Plato pun percaya, juga dari segi falsafah, bahwa dbelakang hidup yang nyata sekarang ini adalah hidup yang lebih tinggi dan mulia, yang kerana kita semuanya ingin menuju, sebab dari sana dahulunya kita datang, itulah yang dinamai “Idealisme Plato”.

Yang tidak percaya tentu membantah, tetapi dia tidak dapat menunjukkan bukti tidak nya, yang percaya hanyalah semata-mata dengan kepercayaan dan tidak pula dapat membuktikan adanya hidup akherat itu, terus terang kita katakan, bahwa belum ada orang yang pulang kembali dari kuburnya, lalu menerangkan kepada kita, bukan secara dalam mimpi, bahwa ada lagi hidup dibelakang hidup ini.

Sebab itu maka kalau hendak memandangnya dari segi falsafah, tidaklah akan putus-putusnya soal ini, falsafah tidaklah sanggup memberikan keputusannya tentang hal yang ghaib! Setinggi-tinggi kesanggupan falsafah terhadap kepada yang ghaib, hanyalah falsafah “Pragmatisme” yang terkenal, iaitu menilai sesuatu jalan fikiran kerana “Faedahnya” apakah faedahnya kamu percaya kepada Tuhan? Faedahnya ialah jiwa mu tenteram jika mendapat bencana, apakah faedahnya engkau percaya kepada hari akherat? Jiwa mu pun tenteram jika kamu ditimpa kekecuaian dalam perjuangan hidup, sebab ada lagi yang kamu harapkan dibelakang hidup ini, kamu cinta kepada anak mu yang telah mati, kalau engkau tidak percaya kepada hari akherat tidaklah ada harapan pada mu buat bertemu dengan dia, kamu dianiayai orang di dalam hidup ini kamu di hukum padahal kamu tidak bersalah, dengan kepercayaan kepada hari akherat, terubatlah kecewa hati mu, disana nanti engkau akan dihadapkan kembali kemuka hakim yang adil! Disana si jujur menerima bekas pahalanya dan si curang mendapat ganjaran yang setimpal.

Baik, saya telah menganut faham Pragmatisme dalam hal hari akherat, sudahkah cukup? Nescaya belum, sebab setengah orang pun mengatakan bahwa faham Pragmatisme adalah pernyataan daripada kelemahan dalam menyerah kalah.

Sekali lagi kita katakana, dengan falsafah saja tidaklah akan cukup mengambil kendali hidup ini, hidup perlu kepada kendali.

No comments: