Percaya Hari
Akherat Sebagai Prinsip Agama
Hanya dengan
beragama barulah kekacauan fikiran kerana falsafah dapat diselesaikan, fikiran
bagaimana pun menjalarnya, mesti ada perhentian, dengan falsafah saja tidaklah
orang akan mendapat kepuasan, sebab endaran falsafah adalah pada fikiran, dan
aliran agama adalah pada iradat (kemahuan) dan rasa (gevoel) dan hidup adalah
gabungan daripada ketiganya.
Apabila kita
telah masuk kedalam linkungan agama, walau agama yang mana jua pun kita mesti
bertemu dengan kepercayaan kepada hari akherat, agama Mesir kuno mempercayai
bahwa dibelakang hidup sekarang ini ada hidup lagi, kepercayaan inilah yang
menimbulkan kepandaian membuat “mummie” supaya tahan pada hikmah mereka badan
kasar ini menerima yang akan datang itu, dan berjumpa kembali dengan nyawanya,
kepercayaan Tiongkoh kuno pun demikian pula, kepercayaan hidup yang pada
mulanya mengakui reincarnation (Perulangan hidup) mengakui juga bahwa
kesudahannya ruh manusia akan kembali kedalam Braman kesatuan sekali, dan
kepercayaan agama Budha kepada Nirwana setelah melalui berbagai bagai sengsara.
Agama Islam,
Yahudi dan Nasrani adalah satu rumpun, iaitu agama Tauhid (Monotheisme) ketiga
agama ini mempercayai atau mempunyai dasar kepercayaan kepada hari kiamat.
Bilamana
telah diterima kepercayaan kepada Tuhan Maha Pengatur Alam dengan sendirinya
haruslah percaya kepada orang yang diberinya wahyu iaitu Nabi dan rasul dan
seluruh Nabi itu, 124,000 Nabi dan 313 Rasul, sama seruannya tentang ada hidup
dibelakang hidup ini.
Sebab itu
maka kepercayaan kepada hari akherat adalah agama, tidak percaya kepada hari
akherat ertinya tidak beragama, kepercayaan dalam agama adalah kepercayaan
dalam keseluruhan, meninggalkan kepercayaan kepada hari akherat, haruslah
meremuk seluruh kepercayaan, iaitu tidak percaya kepada Tuhan, ertinya tidak
ada kepercayaan sama sekali.
Bahkah
meskipun terdapat banyak perbezaan diantara agama-agama, terutama didalam
upacara mengerjakan bakti dan ibadat namun didalam kepercayaan kepada adanya
Allah dan adanya hidup sesudah mati seluruh agama dipandang adalah satu, tujuan
seluruh agama adalah satu iaitu mempercayai Allah dan mempercayai hari kiamat.
Tuhan
Berfirman:
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman (percayaan) dan orang orang yang beragama Yahudi dan
Nasrani dan agama Sabiin, siapa yang percaya dengan Allah dan hari yang akhir,
dan mengerjakan amalan yang soleh, maka bagi mereka itu pahala disisi Tuhan,
dan tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidak pula mereka itu akan berduka
cita” Al Baqarah ayat 62.
Alangkah luas
pandangan yang ditanamkan Tuhan dengan perantaraan NabiNya kepada umat manusia
didalam ayat ini. Tujuan seluruh keagamaan hanyalah satu, iaitu “Percaya ada
Allah dan Hari kemudian”, diiringi dengan bukti yaitu berbuat baik, beramal
soleh, adapun nama agama yang dipeluk meskipun berlain lain ada Yahudi, ada
Nasrani, ada Sabiin dan Islam, itu semuanya hanya kulit belaka, sebab manusia
kadang kadang tertidur memonopoli agama tuhan menjadi hak bagi suatu golongan,
pada hal inti sari seluruh agama itu ialah kesatuan kepercayaan, bagaimana
juapun manusia mempersempit pandangan didalam hidup, nanum manusia tidaklah
dapat memungkiri bahawasanya manusia yang berbakti didalam memeluk setiap
agama, akan mendapat darajat dan martabat yang tinggi kerana tingginya mutu
kepercayaan kepada Tuhan Allah dan Hari Kemudian. Bagaimana pun kadang-kadang
sempitnya pandangan hidup manusia, mereka tidak dapat memungkiri bahwa
diseluruh agama itu ada orang yang berbuat baik dan beramal soleh, baik dia
yahudi, atau Nasrani atau Sabiin dan apatah lagi Islam (timbul pertanyaan
dari beberapa peminat, bahwa kalau Islam membuka pintu seluas itu, sehingga
orang Yahudi, Nasrani dan Sabiin pun akan diberi ganjaran dan tidak merasa
takut didalam hidupnya, jika dia percaya kepada Allah dan Hari Akherat, , dan
suka pula berbuat kebajikan, apakah lagi kelebihan kita sebagai orang Islam?
Dan bukankah ini meyebabkan orang mudah sahaja pindah keagama lain?, kemusykilan itu tidaklah akan timbul jika
seseorang muslim berfikir dengan tenang dan taat dalam linkungan agamanya, bila
dia membaca ayat ini nescaya dia akan berkata dalam hatinya “sedangkan orang
Yahudi, Nasrani dan sabiin lagi dijamin oleh Tuhan akan diberi ganjaran dan
akan merasa ketenteraman jiwa, lantaran percaya kepada Allah dan Hari Akherat,
lagi berbuat kebajikan, betapa lagi saya sebagai seorang muslim yang beriman?
Lantaran itu tidaklah dia akan mudah pindah agama, melainkan dia akan berusaha
mempertinggi mutu imannya didalam Islam, sehingga mendapat benar-benar
kepercayaannya kepada Allah dan Hari Akherat dan diperbanyakkannya amalannya
yang soleh-pengarang)
Dan
kepercayaan kepada Allah dan hari Akherat, hanyalah didapati kerana menyerahkan
diri dengan rela hati kepada Ilahi, penyerahan hati dengan rela kepada Ilahi
dalam bahasa arabnya ialah “Islam”.
No comments:
Post a Comment