Monday, March 20, 2017

Satu Pengalaman


Menghadapi Idelogi Extremis

Pengalaman Seorang Ahli RRG[1],[2]

 

Ketika mendapat berita bahwa Rahim (bukan nama sebenar) akan dibebaskan dari pusat tahanan ISA (Internal Security Act), setelah lebih tiga tahun terkurung disebabkan penglibatannya dengan kegiatan-kegiatan yang membahayakan keselamatan Negara, saya terpegun sebentar dan amat terharu bercampur gembira dengan berita tersebut, kerana inilah berita yang sedang saya nanti-nantikan selama ini, iaitu semenjak di amanahkan untuk membimbing beliau dalam program pemulihan sepanjang tahun yang lalu. Saya pasti beliau juga akan merasakan perasaan yang sama bila menerima berita ini, malah mungkin lebih dari itu, kerana beliau lah orang yang akan dibebaskan, dapat kembali kepangkuan keluarga, bekerja dan berinteraksi dengan mesyarakat sebagai seorang warga biasa. Saya dapat bayangkan keadaannya keluar dari tempat pengasingan yang telah menjadi tempat tinggalnya selama ini, dan saya juga dapat gambarkan bagaimana beliau disambut mesra oleh kaum keluarga dan kerabatnya, memeluk mereka dengan erat satu persatu dengan linangan air mata kegembiraan, sambil mengenang dan mengimbas kembali kenangan manis waktu mereka bersama dan kebahagian yang luput dari mereka lebih dari 3 tahun yang lalu.

 

Saya berharap Rahim benar-benar dapat menghargai dan bersyukur di atas kurnia ini, semoga beliau juga dapat menjadikan segala pengalaman pahit yang dilaluinya selama ini, sebagai suatu ikhtibar dan pengajaran yang berharga, dan menjadikannya bekalan yang bermanfaat dalam menempuh masadepan dan liku-liku hidup bersama keluarganya nanti. Inilah doa dan harapan saya kepada Rahim, bagi diri ini tiada kalimah yang dapat melahirkan kegembiraan diatas kebebasan beliau, walaupun pada hakikatnya tidak banyak pihak yang sedar, akan segala jerih payah dan pengorbanan yang perlu dicurahkan bagi memastikan kebebasannya, dan tidak juga diharapkan sesuatu penghargaan di atas khidmat dan usaha ini, tetapi kepuasan pribadi yang dirasai melebihi segalanya, bilamana saya dapat melihat sendiri segala usaha yang dilakukan selama ini membuahkan hasilnya, iaitu dengan kebebasan beliau dari tempat tahanan tersebut.

 

Apabila mengimbas kembali segala usaha yang dicurahkan selama setahun untuk membantu beliau, menghabiskan waktu bersamanya setiap minggu, membimbing dan menasihatinya untuk kembali kepangkal jalan, semua usaha ini tidak sia-sia, saya  dapat melihat sendiri hasilnya, perubahan positif seorang insan  yang tidak saya kenali sebelum ini, yang memiliki fahaman yang extremis dan merbahaya, dapat dibimbing dan dinasihati, sehingga menginsafi dan bertaubat dari segala salah laku dan kesalahan masa lalu, dan mempunyai tekad dan azam yang kuat untuk berubah dan membina hidup yang baru. Saya rasa inilah satu sumbangan kecil yang dapat diberikan sebagai khidmat bakti untuk Negara, kerana telah dapat memainkan peranan dalam menjaga keselamatan dan keharmonian Negara ini. Ada juga dikalangan rakan asatizah dalam RRG (Religious Rehabilitation Group), iaitu asatizah yang menjalankan khidmat kauseling dan program pemulihan keatas tahanan ini mengatakan: “Tugas kita ini merupakan National Service atau Pengkhidmatan Negara”, walaupun pada hakikatnya kebanyakan dari mereka tidak pernah melalui pengkhidmatan Negara yang diwajibkan keatas seluruh warga lelaki di Negara ini.    

 

Masih lagi dalam ingatan ini, sewaktu saya diminta oleh Ustaz Ali dan Ustaz Hasbi ( ketua dalam kumpulan RRG) untuk membantu Rahim dalam sesi kauseling bagi tujuan permulihannya, dan apabila diberitahu akan kegiatan dan hubungannya dengan golongan yang extremis ini, pada awalnya saya amat keberatan untuk menerima tawaran tersebut, kerana tugas ini merupakan tugas yang berat lagi mencabar, ia bukan suatu tugas yang mudah atau sesi kauseling yang biasa saya lakukan sebelum ini, saya sedar jika saya terima tawaran kerja yang tidak bergaji ini, maka sudah pasti banyak usaha dan persiapan yang perlu saya lakukan, dan ini juga secara tidak langsung akan mengubah jadual dan corak kehidupan saya sehari-hari, saya dapat rasakan banyak waktu dan masa akan dihabiskan untuk membantu beliau, banyak bahan-bahan bacaan yang perlu ditelaah, membuat kajian bagi memahami ideologinya dengan lebih mendalam lagi, menghadiri kursus-kursus tambahan bagi menyiapkan diri, ini semua perlu dilakukan sebelum saya dapat membantu dan membimbing beliau. Ditambah lagi dengan tanggong jawab seharian yang semakin padat, khususnya bagi memastikan segala kebuntuhan keluarga dapat dipenuhi, dan begitu juga waktu-waktu berharga bersama mereka yang perlu dikorbankan, demi untuk membantu seorang insan yang tidak dikenali asal usul dan latar belakangnya sebelum ini.

 

Setelah menpertimbangkan tawaran ini dengan saksama, dan setelah meminta pandangan dan nasihat dari para asatizah yang lebih senior, maka dengan niat yang ikhlas, demi untuk membantu seseorang agar terlepas dari kesusahannya, begitu juga demi untuk memastikan ajaran Islam senantiasa terpelihara dari unsur-unsur keganasan, dan bagi memastikan keselamatan Negara senantiasa terpelihara, maka saya terima cabaran ini semata-mata untuk mencari keredaanNya, saya yakin dengan pengalaman lebih dari 10 tahun dalam melakukan kerja-kerja sosial dan  kebajikan kepada masyarakat selama ini, dan dengan ilmu pengetahuan dalam bidang Syariah dari Universiti Al Azhar, diploma dalam bidang Kauseling dan Psychology yang saya perolehi, saya yakin saya dapat memberikan yang terbaik untuk membantunya,  saya anggap tugas ini sebagai suatu amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada diri  ini.

 

Mengharungi sesi-sesi kauseling bersama Rahim bukan lah suatu perkara yang mudah sepertimana yang telah saya jangkakan sebelum ini, lebih-lebih lagi jika perkara yang ingin dibincangkan itu merupakan perkara yang amat sensitif dan memayahkan sekali, sebab itu lah sejak awal-awal lagi ketika kami bersua muka, perkara pertama yang saya tekankan kepadanya adalah  soal kepercayaan, saya perlu menyakinkan beliau bahwa kehadiran saya ini adalah untuk membantu beliau secara individu, sebagai seorang ustaz, sebagai seorang yang ahli dalam bidang agama dan mempunyai otoritas di dalam perkara yang ingin dibincangkan. Pertama sekali yang saya katakan kepadanya setelah mengenalkan diri: “Saya di sini hanya untuk menolong En Rahim, untuk berkongsi pandangan dan perasaan, untuk memahami dan berusaha memberikan apajua bantuan yang dapat dihulurkan, saya datang untuk membantu dan tidak ada paksaan dalam apajua perkara yang akan kita bincangkan”, Alhamdulillah,  dengan wajah yang ceria beliau menjawab: “Saya juga memang menantikan sesi seumpama ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana Ustaz sudi meluangkan masa untuk saya di sini” kalimah yang beliau utarakan ini sudah cukup untuk merangsang saya memberikan yang terbaik untuk dirinya.

 

 Sepanjang pertemuan kita bersama, saya juga perlu pastikan sesi ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur, saya perlu hadir tepat pada hari dan waktu yang telah dijanjikan walaupun menghadapi tugas seharian yang sememangnya padat, saya perlu tunjukkan kepada beliau komitmen saya kepadanya, bahwa saya benar-benar serius dan memang bersungguh-sungguh untuk membantu beliau dalam usaha ini, Alhamdulillah berkat usaha yang istiqamah ini saya dapati beliau juga dapat menerima saya dengan hati yang terbuka, dan kami dapat wujudkan persefahaman dan kepercayaan diantara satu sama lain dalam menjayakan tujuan dan usaha yang murni ini, sehingga hubungan kami semakin mesra dan kami dapat berbincang dengan terbuka walaupun dalam hal-hal dan perkara yang amat sensitif.

 

Berbincang dan berhadapan dengan isu-isu idealogi yang bersifat abstrak and ambigos merupakan suatu cabaran yang amat besar, lebih-lebih lagi jika perkara yang ingin dibincangkan sudah tertanam dalam lubuk hati seseorang, dan terpahat sekian lama didalamnya sehingga sebati dalam jiwanya, maka bukan lah satu perkara yang mudah untuk dibincangkan. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan hanya sepihak saja yang memberikan pendapat dan pandangannya, dan merasakan hanya pendapat dan pandangannya saja yang betul dan tepat, sementara pandangan sepihak lagi adalah salah dan keliru, atau mengharapkan agar pihak yang satu lagi dengan lapang dada menerima saja segala pandangan dan nasihat yang diberi, cara seumpama ini sudah pasti tidak akan menghasilkan natijah yang diinginkan. Saya sedari sesi seumpama ini hanya akan membuahkan hasil jika kedua pihak dapat menunjukkan kepercayaan di antara satu dengan lainnya, sebab itu lah tumpuan dan penekanan yang khusus untuk mewujudkan kepercayaan dan keyakinan kepada diri Rahim perlu diutamakan, ini semua perlu dilakukan agar kita dapat hilangkan segala rasa sangsi, perasaan curiga dan ketidak percayaan diantara satu dengan lainnya, lebih-lebih lagi saya juga pernah mendengar dari ustaz-ustaz yang lebih senior semasa menjalankan usaha ini, mereka pernah dituduh sebagai ustaz pemerintah, ustaz munafik, musuh Islam dan berbagai lagi tomahan dan kata nista yang dilontarkan keatas ustaz-ustaz tersebut.

 

Sebenarnya saya kagum dengan ketabahan ustaz-ustaz yang telah lebih dahulu melaksanakan usaha ini, walaupun mereka tidak diberikan apa-apa habuan, ganjaran atau penghargaan, tetapi mereka tetap tabah melaksanakan usaha mereka dengan  penuh keikhlasan, inilah yang mendorong semangat saya untuk terus membantu walaupun kadang kala merasa terkilan dan kecewa dengan pandangan dan ucapan yang dilontarkan. Inilah cabaran terbesar yang perlu dilalui oleh setiap asatizah yang melaksanakan tugas ini, mereka dilebelkan dengan berbagai lebel dan kedudukan yang hina dan keji, baik oleh para tahanan itu sendiri atau oleh masyarakat umum yang tidak merasa senang dengan usaha pemulihan ini,  jika setiap asatizah yang menjalankan usaha ini ingin berfikiran secara lojik, sudah pasti mereka akan lebih senang membantu orang-orang yang ingin dibantu saja, atau memanfaatkan segala usaha dan tenaga mereka hanya kepada masyarakat tertentu atau sanak saudara yang terdekat, kerana ini yang lebih mudah dalam melakukan sesuatu usaha dakwah, dan sudah pasti mereka akan lebih dihormati dan disanjungi di atas usaha mereka ini. Tetapi tidak begitu sifat para asatizah yang berada di dalam kumpulan RRG ini, mereka tetap tabah dan dengan penuh dedikasi menjalankan usaha dan amanah ini, demi untuk menjaga kemurnian agama,  kemakmuran dan keselamatan Negara dari segala macam ancaman.

 

Saya bersyukur, kerana sepanjang melaksanakan sesi pemulihan ini bersama Rahim,  saya tidak pernah dilontar dengan perkataan-perkataan sinis dari beliau, ini mungkin disebabkan kedua belah pihak menyedari dari awal lagi bahwa usaha ini hanya akan berhasil jika keduanya dapat saling menpercayai, tidak ada udang disebalik batu, dan keduanya bersedia berbincang secara jujur dan ikhlas, bersedia untuk mendengar pandangan dan pendapat pihak lain, bersifat terbuka dan menunjukkan rasa saling hormat menghormati diantara satu dengan lainnya, walaupun kadang kala pendapat dan pandangan yang diberikan amat jangkal dan tidak tepat, tetapi keduanya masih dapat bertasamuh dan tetap saling hormat menghormati. Jika acuan dasar ini dapat diterapkan diantara kedua pihak, sudah pasti ia akan mewujudkan suatu persefahaman yang kukuh sehingga keduanya dapat menilai dengan lebih mendalam segala perbezaan pendapat yang diutarakan dengan hati yang terbuka.

 

Saya masih teringat pertanyaan Rahim kepada saya berhubung perjuangannya ini, dengan semangat yang berkobar-kobar tetapi penuh beradab beliau berkata : “Ustaz lihat sekarang ini umat Islam ditindas di merata dunia, baik di Palestine, di Afganistan, di Chenche, di Bosnia, di Philippine, di Thailand, di Iraq dan dibebagai Negara lainnya, saya lihat (dalam video) bagaimana umat Islam disembelih, dibunuh, harta mereka dirampas dan di bakar dan wanitanya diperkosa oleh musuh-musuh Islam, apakah sebagai umat Islam kita hanya dapat berpeluk tubuh dan membiarkan saudara-saudara kita diperlakukan seumpama itu”? Soalan yang beliau kemukakan dengan penuh semangat ini tidak dapat dinafikan ada kebenarannya, walaupun pergolakan-pergolakan ini tidak berlaku di depan mata kita, tetapi dengan kemajuan teknologi yang canggih, kita dapat menyaksikan segala kejadian di merata dunia seolah-olah ia berlaku di depan mata kita sendiri, dan secara tidak langsung sudah pasti akan menbangkitkan emosi dan perasaan simpati kepada saudara-saudara kita yang tertindas, sehingga menimbulkan perasaan benci terhadap pihak-pihak yang melakukan perbuatan tersebut, perasaan inilah yang sedang berkecemuk dalam jiwa Rahim, semangat untuk berjihad dan membantu saudara-saudara Islam yang tertindas baik dimana saja mereka berada.

 

Sambil melihat wajah Rahim yang masih ghairah menanti nanti jawapan dari saya, dan dengan nada suara yang tenang saya menjawap pertanyaannya itu : “ Saya tidak nafikan apa yang En Rahim katakan itu ada benarnya, kejadian-kejadian seumpama ini memang berlaku dan wujud dimana-mana, apakah perkara ini disebabkan oleh masalah agama, pecaturan politik, perbezaan ideologi, bangsa  atau apa juga alasan yang diberi sehingga sanggup melakukan perbuatan-perbuatan pembunuhan, kekejaman, kerosakan, permekosaan dan sebagainya, ini semua merupakan perbuatan-perbuatan yang zalim dan terkutuk, tiada agama dan manusia yang waras fikirannya yang dapat menerima perbuatan-perbuatan zalim seumpama ini, begitu juga dengan agama Islam, Islam juga melarang kita daripada melakukan perbuatan perbuatan yang zalim, kita diharamkan membalas kezaliman dengan kezaliman, kita tidak boleh melakukan kezaliman dengan kezaliman yang serupa, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bertindak menpertahankan Negara,agama, maruah, nyawa, akal dan harta kita dari perbuatan zalim tersebut, cuma persoalannya adalah bagaimanakah kita ingin membantu  mereka-mereka yang dizalimi ini, apakah perlu kita bertindak dengan melakukan kezaliman yang serupa?, inilah cabaran yang perlu kita hadapi dalam membantu saudara-saudara kita yang tertindas”, jawab saya dengan penuh semangat pula.

 

Setelah mendengar penjelasan saya dengan teliti, beliau secara sepontan bertanya lagi: “Tidakkah kita digalakkan untuk berjihad melawan musuh yang ingin memadankan syiar agama kita,  tidakkah jihad itu wajib keatas setiap individu umat Islam?” pertanyaan yang spontan ini mengambarkan isi hati dan perasaan yang terpendam dalam dirinya selama ini, saya sedar beliau sememangnya mempunyai niat yang baik untuk mempertahankan agama yang beliau yakini ini, dan perasaan seumpama ini memang dimiliki oleh setiap pihak yang menginginkan keadilan dan ingin menpertahankan kebenaran, sambil merenung matanya dengan penuh keyakinan saya menjawab : “Setiap penganut yang beriman memang wajib mempunyai sifat jihad di dalam dirinya, wajib mempertahankan agamanya, wajib melaksanakan segala ibadah dan perintah agama dengan bersungguh-sungguh, dan sifat jihad ini tidak semestinya diertikan dengan peperangan senjata saja, melakukan  pembunuhan, kemusnahan dan segala tindakan-tindakan yang merosakkan sesama manusia, lebih-lebih lagi jika perbuatan-perbuatan itu dilakukan keatas orang-orang awan yang tidak bersalah, ini boleh mengakibat sifat dan perbuatan zalim” belum sempat saya menghela nafas yang panjang, beliau bertanya lagi.

 

“Tidakkah mereka-mereka yang kafir yang tidak beriman itu sebagai musuh Allah swt, musuh Islam dan mempunyai niat yang tak baik terhadap Islam, dan kita dilarang untuk bersama dengan mereka?” walaupun hanya kami berdua saja di dalam bilik ini, pertanyaan beliau ini bergema di ruang bilik yang kondusif dan berhawa dingin, perbincangan dan pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan oleh Rahim ini kelihatan begitu hangat dan mencabar, tetapi kami berdua masih tetap dapat tersenyum dan tenang dalam mengemukakan pendapat masing-masing. Pertanyaan beliau ini saya jawab dengan merujuk kembali kepada sejarah kehidupan Nabi Yusuf a.s, bagaimana beliau sebagai seorang Nabi dan Rasul, dapat berkerja dan bertugas dengan pemerintahan yang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam, sehingga beliau dilantik sebagai seorang Wazir (Menteri) oleh Raja negara itu, kerana beliau telah  memberikan sumbangan yang besar terhadap Negaranya. Saya menambah penjelasan saya ini dengan berkata: “Taufik, pertunjuk dan hidayah yang berupa iman ini adalah milik Allah swt, Allah swt saja yang berhak menentukan siapakah dari hamba-hambaNya yang akan dikurniakan hidayah Iman dan Islam, cuma menjadi tanggong jawab kita bagaimana kita dengan penuh hikmah dapat menunjukkan keindahan Islam ini kepada mereka, kerana tidak semestinya orang yang tidak beriman itu adalah musuh Islam”

 

Saban minggu suasana perbincangan seumpama ini kita lalui bersama, beliau senantiasa menanti-nanti pertemuan sesi ini, dan setiap kali bertemu dapat saya lihat kecerian diwajahnya, berbagai pertanyaan, persoalan, baik yang bersangkut paut dengan agama, kehidupan, masalah masyarakat dan keluarga juga di bincangkan bersama, biasanya perbincangan kita berjalan dengan hangat dan mesra, dan jika suasana sesi agak tegang biasanya kita akan kembali kepada matlamat asal tujuan kita bersama, iaitu untuk saling bertukar-tukar fikiran dan saling nasihat menasihati dalam perkara yang baik, dan memahamkan beliau kembali tugas yang diamanahkan kepada saya ini. Tanpa disedari pertemuan kita telah berjalan lebih dari setahun, saya dapat melihat perubahan positif beliau setiap kali kami bertemu, sehingga saya berani memberikan laporan positif kepada pihak berwenang bahwa beliau tidak lagi menjadi ancaman bagi keselamatan dalam Negara ini, dan Alhamdulillah permohonan saya ini dipertimbangkan mereka, dan saya mendapat berita bahwa beliau akan dibebaskan dalam waktu yang dekat ini.

 

Sebagai seorang Ustaz, orang luar, masyarakat awam yang tiada hubungan dengan pihak keselamatan, tetapi diberikan peluang dan kesempatan untuk bertemu dengan para tahanan seperti Rahim secara pribadi, dapat menyaksikan dengan sendiri keadaan  para tahanan dari dalam, dapat bersemuka dan bertentangan mata secara pribadi, mengkaji, memahami dan mendengar setiap kebenaran dari mulut, hati dan pemikiran para tahanan itu sendiri, berbincang dengannya, diberi kesempatan untuk membimbing dan menasihatinya, ini semua merupakan pengalaman yang paling berharga yang diberikan kepada seorang warga biasa seperti saya. Pengalaman pribadi ini amat sulit untuk diterangkan kepada masyarakat secara umum, sebab itu saya dapat memahami mengapa ada pihak atau sebagian anggota masyarakat yang mempunyai pandangan sinis terhadap usaha yang dijalankan oleh pihak RRG ini, walau bagaimana pun berkat ketabahan dan kesabaran usaha murni mereka ini, lebih dari 20 para tahanan ISA telah dibebaskan oleh pihak keselamatan Negara, salah seorang pihak keselamatan yang bertugas menguruskan para tahanan ini dengan tegas mengatakan: “Jika tidak kerana usaha yang dijalankan oleh pihak RRG ini, para tahanan tersebut mungkin akan tetap ditahan lebih lama lagi, kerana tiada pihak yang dapat memberikan kepastian dan jaminan,  bahwa mereka benar-benar sudah tidak lagi menjadi ancaman kepada Negara”.

 

Semoga dengan pengalaman yang dicurahkan di dalam artikel pendek ini dapat memberikan sedikit gambaran dan penjelasan secara ringkas usaha-usaha yang telah dijalankan oleh para asatizah ini, dan semoga ia juga dapat membuka pintu hati sebagian pihak yang merasa sangsi dan ragu di atas segala usaha murni yang dijalankan oleh para asatizah di RRG ini. Tiada apa yang diharapkan kecuali keredaan dariNya, hakikatnya tugas ini  bukanlah suatu tugas yang penuh glamour yang mendapat perhatian dan penghargaan dari setiap pihak, banyak waktu, usaha dan tenaga yang perlu disumbangkan dalam menjalankan kerja-kerja ini, ditambah lagi dengan kata-kata sinis dan sindiran yang dilontarkan kepada mereka, dan tugas ini tidak terhenti dengan kebebasan tahanan seperti Rahim ini sahaja, beliau masih lagi tetap memerlukan bimbingan, bantuan dan nasihat secara bulanan bagi memastikan agar beliau  dapat mengadaptasi dengan masyarakat dan tidak kembali kepada fahaman lamanya.

 

Abdul Jalil Abdul Razak

RRG Member

(artikel ditulis 10 tahun yang lalu- 2007)

[1] RRG adalah Kumpulan sukarelawan dikalangan Asatizah yang membantu para tahanan ISA dalam program pemulihan mereka, artikal pendek ini dipersembahkan untuk menghargai pengorbanan mereka.
[2]  RRG Member : Is a Religious Rehabilitation Groups  of religious teachers (asatizah) who were assisting rehabilitating work for the detainees who were detained under Internal Security Act. This short article is written as an appreciation for them.

No comments: