Thursday, December 3, 2015

Duhai Anak Ku 3.


Kepada Anak Abi yang ketiga pula: N.U.R  A.L F.A.T.H.I.N.A.H, ingin Abi berikan nasihat buat diri mu.


Naluri mu senantiasa ingin melakukan kebaikan, maka bersyukurlah kamu diatas pemberian Allah swt yang Maha Agong ini. Ketahuilah, Allah swt tidak melihat kepada paras rupa kamu (iaitu bukan pada kecantikan wajah kamu), bukan pula kepada tubuh badan kamu atau perhiasan dunia yang kamu miliki, tetapi Allah swt akan senantiasa melihat dan menilai hati kamu, maka tanamkan niat yang ikhlas dalam beramal dan menuntut ilmu iaitu semata-mata mencari reda Allah swt, berusahalah dengan penuh gigih dan bersungguh-sungguh dalam setiap amal ibadat yang dilakukan, dan seringlah berdoa kepada Allah swt : “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenanlah doa permohonan ku” Surah Ibrahim ayat 40, dan perbanyakkan lah pula berselawat kepada Nabi mu sepertimana selawat yang engkau ucapkan pada setiap rakaat yang terakhir di dalam solat mu:
اللهم صل على سيدنا محمد و على آل سيدنا محمد # كما صليت على سيدنا إبراهيم و على آل سيدنا إبراهيم
و بارك على سيدنا محمد و على آل سيدنا محمد # كما باركت على سيدنا إبراهيم و على آل سيدنا إبراهيم
في العالمين إنك حميد مجيد#
Semoga dengan senantiasa berdoa memohon pertunjuk dan berselawat kepada Nabi saw, engkau akan di cintai Allah dan rasulNya dan hidup mu akan dipenuhi dengan keberkatan dan cahaya Nubuwah.

Ucapkan lah kalimah yang baik kepada setiap insan yang bermuamalat dengan mu, dan perbanyakkan lah bersabar walaupun kadang-kala mereka bersifat kurang sopan, kasar, menghina atau mencaci mu, jika engkau perlu berdebat dengan mereka maka berdebatlah dengan cara yang baik dan sopan, jangan engkau terikut-ikut dengan sifat dan perangai mereka, anggaplah pengalaman mu dengan mereka sebagai satu pengajaran untuk mendidik dan menghiasi hati mu dengan sifat-sifat mahmudah, ingatlah pesanan Nabi saw yang bermaksud: “Sesungguhnya tidaklah Aku diutuskan kecuali untuk menyempurnakan akhlak” , semoga kesabaran mu itu dapat mendidik mereka ke jalan Allah swt.

Redalah dengan apa yang telah Allah swt anugerahkannya kepada diri mu, anggaplah sesuatu kekurangan yang engkau rasai pada dirimu itu sebagai suatu rahmat Allah swt demi untuk kebaikan mu di dunia dan akherat, berusahalah untuk terus mencapai yang terbaik untuk dunia mu dan jangan kau berputus asa untuk mengejar kebaikan dunia, kerana Allah swt akan memberikan kepada siapa saja yang berusaha untuk dunianya, tetapi jangan kamu lupa untuk akherat mu ingatlah akherat itu lebih penting untuk dirimu, pastikan kau berusaha melaksanakan segala perintah-perintahNya, mengindarkan diri dari segala larangan-laranganNya, engkau akan senantiasa didalam naunganNya jika segala perintah Allah swt yang wajib kau pelihara dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh, semoga kau senantiasa di dalam InayahNya, amin.

Ambillah pengajaran akan segala sesuatu yang berlaku di sekeliling mu, jadikanlah ia sebagai ikhtibar, jika kamu melihat perkara yang berlaku itu adalah perkara yang baik dan mendatangkan kebaikan, pastikan kamu mendapatkan pandangan dan nasihat dari mereka yang kau kenali khususnya dari kedua orang tua mu sebelum engkau melakukan perkara yang baik tersebut, kerana pandangan umum kepada sesuatu yang baik itu tidak semestinya baik buat diri dan agama mu, sebaliknya juga jika engkau melihat sesuatu perkara yang buruk lagi keji dan kau sudah mengerti akan keburukan dan dosa perbuatan tersebut, maka hindarkan diri mu dari perbuatan tersebut, dan jangan lah engkau terpengaruh dengan ajakan dan rayuan mereka-mereka yang melakukannya, peliharailah iman mu Insyallah Allah swt akan memelihara diri mu.

Lilitlah hati dan jiwa mu dengan lilitan zikrullah dengan banyak membaca mahkota zikir yang berbunyi:
لا إله إلا الله وحده لا شريك له # له الملك و له الحمد و هو على كل شيء قدير
Mudah-mudahan dengan membasahkan lidah mu dengan zikrullah ini jiwa dan hati mu bertambah tenang mengharungi hidup yang berliku-liku ini, dan apabila kau merasakan ada melakukan kesalahan atau dosa kepada Allah swt, maka perbanyakkanlah pula membaca mahkota Istighfar kepadaNya dengan menyebut:
اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت خلقتني و أنا عبدك و أنا على عهدك و وعدك ما أستطعت, أعوذ بك من شر ما صنعت, أبوء لك بنعمتك علي, و ابوء بذنبي , فاغفرلي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت
Allahumma Anta robbi La ilahailla Anta , kholaqtani wa ana abduka wa ana 'ala 'ahdika wa wa'dika mastato'tu, a’uzubika min syarri ma shona’tu wa abu’u laka bini’matika ‘alayya wa abu’u bidzambi faghfirli fainnahu la yaghfirudz dzunuba illa Anta.
Semoga dengan banyak membaca istighfar ini Allah swt mengampuni segala dosa-dosa mu dan mengolongkan diri mu dalam golongan hamba-hambaNya yang bertaqwa, amin.

Fahamilah liku-liku hidup ini, berwaspadalah dengan segala ranjau dan duri nya, engkau akan mengetahui mengapa begitu mudah manusia tersesat dan terpijak ranjau dan duri ini, berhati-hatilah melalui perjalanan hidup mu, jangan kau terpengaruh dengan keindahan yang bersifat sementara ini, setiap liku-liku perjalanan dan segala ranjau dan duri ini adalah ujian kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah swt sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “ Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?, dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”  Al ‘Alkabut ayat 2-3. Segala yang berlaku itu pasti ada hikmah nya, jadikanlah iman, taqwa dan amal sholehmu sebagai bekalan dalam menempuh ujian ini, Insyallah jika kau tabah dan sabar dalam megharunginya, kau akan mengecapi kebahgiaan yang abadi.

Amatilah segala nasihat yang diberikan oleh kedua orang tua mu dan mereka-mereka yang menyayangi mu, kerana nasihat itu adalah satu peringatan agar engkau tidak lupa dan lalai dalam melaksanakan segala amanah dan tanggong jawab yang diberi. Ingatlah kadang kala nasihat yang diberikan kepada mu amat manis sekali, sehingga ia memberikan rangsangan buat diri mu untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi, dan adakala nya pula nasihat itu ibarat hempedu yang terasa amat pahit untuk ditelan sehingga menganggu perasaan dan emosi mu, tetapi ketahuilah nasihat yang seumpama inilah yang akan memberikan kesan yang lebih mendalam dalam hidup mu, kerana kebaikannya akan lebih berkekalan sehingga menjadi pedoman hingga keakhir hayat mu, maka terimalah segala nasihat yang diberi, tidak kira darimana dan dari siapa sekali pun nasihat itu datang, tidak kira apakah ia pahit atau manis, terimalah ia dengan hati yang terbuka dan ikhlas, semoga Allah swt membuka pintu hati mu dengan segala kebaikannya.

Tanamkan tekad dan azam yang kukuh dan disiplin diri yang teguh, dan kuatkan semangat dan jati diri mu, kerana kau perlu terus berlumba-lumba dengan segala manusia yang ada disekeliling mu, dan ingatlah setiap manusia itu ingin agar diri mereka senantiasa didepan dan mereka tidak mahu ada manusia lain dihadapan mereka, atau ada manusia yang inginkan agar mereka senantiasa diatas dan tidak ada orang lain diatas mereka, kerana inilah hakikat hidup setiap dari kita, kita akan terus berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan atau sebaliknya melakukan kehancuran, maka berhati-hatilah kamu dalam berusaha, pastikan setiap niat yang engkau tanamkan di hatimu dalam berusaha, tidak bercanggah dengan nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama mu, berusahalah dengan niat yang ikhlas dan hindarkan diri mu dari hawa nafsu dan sifat-sifat yang keji ketika kamu berusaha dan beramal, semoga segala amalan mu diterima Allah swt.

Hayatilah ayat-ayat suci yang engkau baca dengan penuh khusyuk dan tawaduk, perhatikan lah setiap baris dan kalimahnya dengan penuh keagongan, bacalah dengan suara yang terang dan jelas agar guru mu dapat mendengar dan mengetahui kekurangan mu dan membimbing kamu dengan baik dan sempurna. Ketahui lah wahyu yang kamu baca ini adalah kalamullah yang dapat memberikan pertunjuk, taufik dan hidayah Allah swt dalam menempuh alam yang fana ini, dan ia juga berupa peringatan dan ancaman kepada mereka yang engkar dan mengabaikannya, tiada bekalan dan panduan yang terbaik kecuali kau bersungguh-sungguh berpegang teguh kepada Wahyu Allah swt dan ajaran nabiNya Muhammad saw, maka peliharalah anugerah ini dengan sebaik baiknya, semoga kau akan selamat.

Ingatlah tiada sesiapa yang dapat membantu dirimu nanti ketika kamu kembali menghadap Allah swt, tiada sesiapa yang dapat membantu kamu ketika kamu disoal di alam kubur, tiada siapa yang sangguh membantu kamu sewaktu kamu berada di alam barzakh, tiada siapa yang dapat membantu kamu ketika kamu berjalan di atas shiraat, tiada dan tak seorang pun yang kamu kasihi dapat membantu kamu atau sangguh membantu kamu dalam keadaan yang seumpama itu, kecuali diri kamu sendiri dan amalan sholeh mu selama engkau hidup di dunia ini, maka manfaatkan lah setiap detik dan saat keberadaan mu ini di dunia dengan memperbanyakkan beribadat, beramal sholeh dan meningkatkan kefahaman ilmu agama, semoga dengan ini kamu mendapat keredaan Allah swt dan amalan mu itu menjadi teman yang setia dalam mengharungi dan menempuh perjalanan kamu yang masih jauh ini.

Nikmat yang engkau kecapi selama ini adalah pemberian Allah swt yang perlu disyukuri, nikmat Islam, Iman, kesehatan, kesejahteraan, kasih sayang, rezki, panca indra dan segala nikmat-nikmat yang engkau ketahui atau yang tidak diketahui, perlulah disyukuri diatas segala nikmat-nikmat ini, bersyukurlah dengan mengucapkan Alhamdulillah dan seterusnya menghargai pemberianNya itu dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala tegahanNya, nescaya Allah swt akan menambahkan nikmat-nikmatNya kepada mu, sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” Surah Ibrahim ayat 7. Bersyukurlah diatas segala nikmat yang diberi, walaupun kadang-kala nikmat yang dirasai hanya sedikit saja, tetapi kesyukuran mu itu begitu besar dan tinggi nilainya disisi Allah swt, dan perbanyakkan lah membaca kalimah: “Hasbiyallah wa nikmal wakil, Hasbiyallahu la ilaha illa huwa alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul Arysil Adhzim” semoga dengan sering bersyukur dan membaca Zikir ini engkau menjadi wanita sholehah yang qanaah di dunia ini.

Awasilah tingkah laku mu, akhlak dan budi pekertimu, dan juga setiap tutur kata mu, jangan sampai tutur kata, tingkah laku dan perbuatan mu itu melukai hati orang tua mu, ingatlah mereka merupakan salah satu pintu dari pintu-pintu syurga, berbaktilah kepada mereka nescaya Allah swt akan memudahkan perjalanan mu menuju ke syurgaNya, ingatlah ciri-ciri wanita yang sholehah akan senantiasa berusaha menunjukkan ketaatannya kepada Allah swt dan seteruskan kepada RasulNya saw dan kepada kedua orang tuanya, dan jika dia sudah bersuami dia akan menunjukkan ketaatan kepada suaminya.

Hikmah atau wisdom adalah sifat yang terpenting dalam hidup seseorang, seseorang yang mempunyai sifat ini akan mengharungi hidupnya dengan sempurna kerana dia dapat mengawal dan mengimbangi akal, hati dan jiwa nya dengan penuh kebijaksanaan, dia akan menempuh perjalanan hidupnya dengan kaca mata “hikmah” dan memahami hikmah disebalik berlakunya perkara tersebut, dia akan lebih banyak bersyukur dan mensyukuri segala kurnia Allah swt kepadanya, dia akan merasakan kepuasan hidup yang sebenar, kedamaian dan ketenangan jiwa dengan wajah yang berseri-seri kerana dapat menghargai pemberianNya, hikmah inilah yang perlu dipupuk dan dipelihara dengan baik dalam dirimu, tetapi ingatlah sifat hikmah ini akan hilang jika engkau mementingkan dunia dan menjadikan dunia sebagai matlamat hidup mu, inilah yang telah berlaku kepada kebanyakkan manusia, baik mereka yang kaya raya atau yang miskin, yang berkuasa dan berkedudukan atau manusia biasa saja, baik dalam sebuah Negara yang besar, sebuah organisasi atau dalam sebuah keluarga yang kecil, sifat ini akan lenyap jika engkau hanya mementingkan kebendaan dan menilai kebendaan sebagai satu satunya kayu ukur dalam bentuk kemajuan hidup di alam yang fana ini.

Semoga Allah swt senantiasa memberikan kamu sifat hikmah, pertunjuk, taufik, hidayah dan InayahNya buat diri mu dalam menempuh hidup di alam yang fana ini, amin. ..bersambung.

No comments: