Tuesday, April 28, 2015

Tekanan Hidup (3)


(Bersambung – Tekanan Hidup).... Alhamdulillahi, hari ini kita bersambung semula topik berkenaan dengan Tekanan Hidup yang dihadapi oleh masyarakat Negara yang kosmospolitan ini, selain dari dua perkara yang lalu (Kebendaan dan Sifat Ananiyah), perkara ketiga pula yang menjadi punca masyarakat kita stres, resah dan gelisah adalah:

(3). Competitive

Iaitu sifat bersaing atau berlumba-lumba, sifat ini juga dapat memberikan tekanan didalam kehidupan kita sehari hari, khususnya dalam mengejar dan mencari kemewahan hidup dan berusaha mencapai status atau kedudukan yang mantap, sifat seumpama ini sudah menjadi lumrah dunia, kerana semua pihak ingin berlumba-lumba untuk memastikan mereka senantiasa berada dihadapan dan dalam kedudukan yang baik. Ini dapat kita lihat dalam segenap peringkat kehidupan manusia dan begitu juga makhluk makluk Allah swt yang lain, semuanya berlumba-lumba bagi memastikan keberadaan mereka terjamin.

Sebagai contoh, kepada mereka-mereka yang mempunyai anak-anak disekolah, mereka pasti ingin agar anak-anak mereka mencapai pretasi dan kedudukan yang baik, anak-anak juga digalakkan untuk berlumba-lumba dalam pembelajaran dan aktiviti yang mereka ceburi, tidak cukup dengan pembelajaran sekolah saja, mereka juga dihantar ke kelas-kelas tambahan bagi memastikan anak-anak mereka dapat bersaing dengan teman-temannya yang lain dalam pembelajaran mereka.

Pihak-pihak sekolah pula digalakkan bersaing diantara mereka, sekolah manakah yang terbaik dalam pembelajaran dan aktivitii-aktiviti yang diadakan, pihak guru juga bersaing diantara mereka siapakah guru yang terbaik dalam memberikan pendidikan kepada anak murid nya, sifat bersaing ini telah dibudayakan dan menjadi lumrah dalam kehidupan manusia, baik didalam rumah tangga, alam persekolahan, ditempat kerja, pentadbiran organisasi, politik dan ekonomi, diantara Negara, hatta dalam segenap peringkat kehidupan manusia, semuanya berlumba-lumba dalam mengejar impian mereka.

Walaupun pada dasarnya sifat ini adalah sifat yang mulia dan terpuji, tetapi jika ia dilakukan dengan niat yang tidak baik dan berlandaskan dengan hawa nafsu haiwaniyah, maka sudah pasti sifat ini akan mendatangkan natijah yang tidak baik pula, sebagai contoh jika seseorang itu mempunyai sifat bersaing dan sanggup melakukan apajua cara demi untuk memastikan persaingannya dapat diatasi dan dikalahkan, maka orang seumpama ini tidak akan teragak-agak melakukan apa jua cara demi untuk mencapai tujuan dan matlamatnya, walaupun mungkin perbuatan nya itu bertentangan dengan nilai-nilai yang murni, dan sikap seumpama inilah yang membuat seseorang itu semakin resah dan stres dalam berlumba-lumba mengharungi hidup.

 

Huraiannya

 

Agama Islam mengalakkan kita untuk berlumba-lumba dalam mengejar kejayaan dan kebaikan, ini dapat dimaklumi dengan firman Allah swt yang bermaksud:

“Maka berlumba-lumba lah kamu (dalam membuat) kebaikan...”

Petikan dari surah Al Baqarah ayat 148 ini memberikan kita gambaran yang syumul, bahwasanya agama Islam mengalakkan kita untuk saling bersaing dalam melakukan apajua bentuk kebaikan, kita disuruh untuk berlumba-lumba diantara kita dalam melakukan kebaikan, tidak kira apajua bentuk kebaikan yang mampu dilakukan, apakah kebaikan itu dilakukannya melalui ilmu pengetahuan, atau dengan harta dan tenaga yang dimiliki, yang mana manfaatnya sudah pasti dapat diraih oleh dirinya atau orang lain.

Jika seseorang itu berlumba-lumba melakukan kebaikan itu dengan niat supaya kebaikan yang dilakukannya nanti dapat dimanfaatkan bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk orang lain, sudah pasti niat seumpama ini dapat memberikan kepuasan dan ketenangan dalam dirinya, jiwanya akan rasa tenteram dan hatinya akan merasa gembira apabila dia melihat segala jerih payahnya memberikan kemanfaatan, keuntungan, kesenangan dan kebahgiaan kepada orang lain, inilah sifat berlumba-lumba yang digalakkan dalam agama Islam, iaitu berlumba-lumba melakukan sesuatu perkara yang baik agar usahanya itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Ini dikeranakan agama Islam sangat menghargai setiap perbuatan yang baik, dan akan membalasnya dengan balasan yang baik, maka sebab itu segala kebaikan yang dilakukannya walau sebesar zarah (sekecil mana sekalipun) sudah pasti akan dihitung oleh Allah swt, kerana Islam amat memuliakan sesuatu kebaikan, ini ditekankan lagi dalam Firman Allah swt di surah Al Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah sekalipun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah sekalipun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula”

Inilah ajaran Islam yang sebenar, ajaran yang memberikan ketenangan dalam jiwa dan hati para penganutnya dalam hal berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebaktian. Jika sifat bersaing itu dihayati dengan hati dan jiwa yang murni sudah pasti usaha dan sifat berlumba-lumba ini dapat memberikan ketenteraman hati dan ketenangan jiwa, tetapi sebaliknya jika usaha dan tenaga yang dicurahkan untuk berlumba-lumba ini dilakukan dengan berpandukan sifat-sifat haiwaniyah, iaitu tindakan yang hanya mementing diri sendiri dan berdasarkan hawa nafsu tanpa mengimbangi dengan pemikiran dan akal yang waras, maka sudah pasti sifat berlumba-lumba ini hanya mendatangkan tekanan dan stress, kerana sifat seumpama ini hanya mendatangkan permusuhan dan kebencian diantara satu dengan lain, dan inilah punca berlakukan sifat stress dan tekanan dalam diri manusia.

 

Kesimpulannya agama Islam mengalakkan umatnya untuk berlumba-lumba dalam mengejar kejayaan dan kebaikan sebagai satu bentuk peribadatan yang bertujuan untuk memberikan kemanfaatan dalam kehidupan manusia, ini juga mencerminkan bahwa agama Islam merupakan agama ihsan dan menginginkan penganutnya menunjukkan sifat rahmat dan kasih sayang kepada seluruh manusia, semoga dengan menghayati sifat ini kita dapat menghindari sifat stress yang sering menghantui masyarakat kosmospolitan ini, amin... (bersambung)

No comments: