Friday, April 24, 2015

Tekanan Hidup (2)


(bersambung :Tekanan Hidup)......Jika ada diantara kita yang masih lagi merasa resah dan gelisah dalam mengharungi kehidupan yang  serba maju ini, dan tidak merasa ketenangan jiwa dalam mencari rezki dan menikmati kebendaan yang ada, maka perlulah dia melakukan muhasabah diri, apakah segala nikmat yang telah Allah swt anugerahkan kepadanya ini membuatnya lebih mendekatkan dirinya kepada Allah swt, atau segala kebendaan yang dimilikinya itu membuatkan nya lebih jauh lagi daripadaNya, Insyallah jika kebendaan yang usahakan dapat mendekatkan diri kepadaNya, jiwa ini akan merasa tenang dan tenteram, dan seterusnya sudah pasti dapat menghindarkan sifat stress dan gelisah yang menghantui dirinya.

 

(2) Self-Centred

Perkara kedua pula yang didapati meresahkan masyarakat Negara ini adalah sifat ananiyah atau Self-centred, iaitu sifat mementingkan diri sendiri, seolah-olah dunia ini hanya berputar disekeliling mereka, mereka lah sebagai tunggak dan pusat berfungsinya segala sesuatu, mereka lah yang terpenting, yang perlu diberikan keutamaan dan perhatian, sementara yang lain pula hanya boleh berlaku setelah diri mereka mendapat keutamaan nya.

Bayangkan jika sifat ini dimiliki oleh mereka-mereka yang berjawatan dan berkedudukan penting, sudah pasti mereka akan mengunakan pangkat dan kedudukan mereka, demi untuk memenuhi keinginan dan kemahuan mereka, buat diri mereka yang lain itu hanya bersifat secondary dan tidak penting, kerana yang terpenting adalah diri mereka.

Apabila wujud sifat ananiyah ini dikalangan masyarakat, maka pada hakikatnya apa jua kemajuan yang dicapai oleh manusia sudah pasti tidak akan memberikan ketenangan dan kedamaian pada diri individu tersebut. Maka akan bermaharajalela pula sifat sifat iri hati asad dengki sesama manusia, tiada lagi sifat saling hormat menghormati diantara satu dengan lainnya, manusia hidup dengan sifat kepura-puraaannya.

Lebih-lebih lagi jika sifat ini dimiliki dikalangan pemimpin masyarakat atau ahli-ahli politik, maka akan berlakulah politik kotor yang dilakukan mereka demi untuk memastikan pihak lawan mereka tidak dapat menandingi mereka, mereka akan berusaha memastikan pihak lawan akan jatuh tersungkur dan tidak dapat lagi bersaing dengan mereka.

Sifat ananiyah ini dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari, ada kalanya ia berlaku di dalam keluarga sendiri, diantara suami dengan isteri, anak-anak dan orang tua, diantara jiran tetangga, ditempat kerja dan dalam segenap peringkat kehidupan kita, tanpa kita sedari sifat ini telah bermaharajalela dalam kehidupan kita sehingga membuat manusia bertambah resah dan gelisah walaupun pada hakikatnya kehidupan mereka penuh dengan kemewahan.

Huraiannya:

 

Agama Islam memberikan kita jalan keluar dalam menghadapi situasi seumpama ini. Sifat ananiyah (self centred) ini merupakan sifat mazmumah (sifat yang keji) yang dibenci oleh agama dan dilarang kita daripada memilikinya, sifat ini dapat kita hindari dengan menanamkan sifat ihsan sesama kita, Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang dari kamu, sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri”.

Hadis ini memberikan kita pandangan asasi berhubung muamalat dalam agama Islam, iaitu sikap asas yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang beriman, kita hanya akan dapat mencintai saudara kita, menghormati mereka dan melakukan kebaikan ke atas diri mereka, jika kita memilki sifat ihsan (perbuatan yang baik, kebaikan, kemurahan hati) di dalam diri kita. Inilah akhlak Islam yang dibawa oleh Nabi saw untuk umatnya, sebagaimana juga sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak (manusia)”.

Perkara ini ditekankan lagi dengan firman Allah swt di surah Al Anbiya ayat 107 yang bermaksud: “Dan Kami (Allah) tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”. Inilah yang diajarkan oleh Allah swt dan RasulNya kepada kita sekalian, cara untuk menghindari sifat ananiyah iaitu dengan menanamkan sifat ihsan di dalam diri kita, kita tanamkan sifat kasih sayang, saling bantu menbantu diantara kita, kita lakukan perbuatan-perbuatan yang baik dalam bermuamalat sesama manusia, kita saling hormat menghormat didalam rumah tangga, jiran tetangga dan dalam pergaulan sesama masyarakat secara ‘am nya. Perbuatan ini semua sudah pasti dapat mendidik kita  untuk menghindarkan diri dari sifat ananiyah dan sekali gus menjauhkan penyakit stress dalam kehidupan kita. ......bersambung


 

No comments: