Thursday, April 23, 2015

Ideologi Zalim (11)


Ayat ini dengan jelas menerangkan kepada kita sekalian, apajua perubahan yang ingin diterapkan kepada sesuatu masyarakat atau ciri-ciri yang ingin diwujudkan dalam masyarakat tersebut, memerlukan kerjasama dari setiap pemimpin Islam dan badan-badan institusi Islam setempat untuk berganding bahu dalam melakarkan apajua perubahan atau bentuk acuan yang ingin diwujudkan, hanya dengan gandingan ini sajalah yang dapat membentuk ciri-ciri masyarakat Islam yang didambakan.

 

Kerjasama bersepadu ini perlu diwujudkan demi untuk memastikan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan ke atas masyarakat Islam setempat bersesuaian dengan kehidupan Negara yang berbilang bangsa dan agama, dan yang terpenting sekali nilai-nilai murni ini bertepatan dengan ajaran Islam yang bersifat wasathiyah yang mencerminkan keadilan dan mencernakan sifat ihsan dalam diri manusia.

 

Cabaran-cabaran Ideologi

 

Dewasa ini ada berbagai bentuk ideologi yang dianuti oleh berbagai latar belakang manusia, bangsa, agama dan juga negara-negara di dunia ini, pengertian idealogi[1] juga mempunyai berbagai tafsiran yang tersendiri, sudah pasti setiap ideologi yang dianuti ini ada persamaan dan perbezaan di antara satu dengan lainnya, akan tetapi setiap fahaman dan idealogi yang membawa kepada unsur-unsur kezaliman pada hakikatnya tidak ada hubung kaitnya dengan agama Islam, ajaran Islam melarang dan mengharamkan apajua bentuk kezaliman yang dilakukan oleh manusia, malah Islam memerintahkan agar setiap penganutnya menentang dan mencegah segala bentuk kezaliman dan kekejaman yang mengakibatkan kerusakan, kemusnahan dan penderitaan terhadap bumi dan penghuninya.

 

Semua pihak mempunyai peranan dan perlu bekerjasama menentang dan membendung segala unsur-unsur kezaliman, dan tidak ada pihak yang terkecuali dalam usaha ini, apajua latar belakang bangsa, agama dan idealogi yang mereka miliki, semua pihak mempunyai peranan yang perlu dimainkan bagi memastikan keamanan, kedamaian dan kemakmuran hidup manusia dapat dipelihara, kerana masalah yang dihadapi ini bukanlah satu masalah yang tertumpu khusus keatas sesuatu golongan, agama atau Negara tertentu saja, ia merangkumi setiap individu, dan semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan fahaman dan idealogi zalim ini dapat dikengkang dan tidak menpengaruhi pemikiran dan jiwa generasi mendatang, jika ini dapat dilakukan sudah pasti hasrat dan keinginan setiap pihak untuk mengecapi kemakmuran dan kedamaian di Dunia yang berbilang bangsa, budaya dan agama ini dapat dinikmati bersama, Insya Allah.

 

 
Sekian

Oleh Abdul Jalil Abdul Razak

15th Ramadhan 1428 Hijrah

27th September 2007



[1] http://www.wisegeek.com/what-is-ideology.htm
[2] Faktor kedua (dari muka surat 25) diantara faktor yang boleh menyebabkan seseorang bertindak zalim
[3] Pengeboman di Bali, kedutaan asing di Indonesia dan Afrika
[4] Pencerobohan di Afghanistan, Iran, Palestine dll.

No comments: